Syria tahan lima suspek insiden tembakan ke atas tentera AS di Palmyra

Syria tahan lima suspek insiden tembakan ke atas tentera AS di Palmyra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMASCUS: Syria menahan lima individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan insiden tembakan ke atas anggota tentera Amerika Syarikat (AS) dan Syria di bandar Palmyra, tengah Syria, pada Sabtu, menurut Kementerian Dalam Negeri pada Ahad.

Dua anggota Tentera Darat AS dan seorang jurubahasa awam terbunuh apabila seorang penyerang mensasarkan konvoi pasukan AS dan Syria sebelum ditembak mati.

Kementerian Dalam Negeri Syria menyifatkan penyerang itu sebagai anggota pasukan keselamatan Syria yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan militan IS.

Syria kini bekerjasama dengan pakatan diketuai AS dalam memerangi IS, susulan satu perjanjian yang dicapai bulan lalu ketika Presiden, Ahmed al-Sharaa mengadakan lawatan ke Rumah Putih.

Kementerian Dalam Negeri Syria memaklumkan unitnya di Palmyra melaksanakan satu operasi dengan kerjasama pasukan pakatan antarabangsa yang membawa kepada penahanan lima suspek yang terus dirujuk untuk siasatan lanjut.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, turut membincangkan serangan itu menerusi perbualan telefon dengan Menteri Luar Syria, Asaad al-Shibani, pada Ahad.

Menurut jurucakap Jabatan Negara AS, Tommy Pigott, Shibani menyampaikan ucapan takziah dan menegaskan komitmen kerajaan Syria untuk melemahkan serta memusnahkan ancaman bersama IS.

Kementerian Dalam Negeri Syria berkata, pihaknya telah menilai penyerang itu beberapa hari sebelum kejadian dan mendapati beliau mungkin mempunyai pandangan ekstremis, namun keputusan mengenai masa depannya masih belum dibuat ketika itu.

Pakatan diketuai AS sejak beberapa bulan kebelakangan ini melaksanakan serangan udara dan operasi darat di Syria bagi menyasarkan suspek IS dengan penglibatan pasukan keselamatan Syria.

Bulan lalu, Syria turut melancarkan operasi di seluruh negara yang menyaksikan lebih 70 individu ditahan atas dakwaan mempunyai kaitan dengan kumpulan berkenaan.

AS menempatkan tenteranya di timur laut Syria sebagai sebahagian daripada usaha lebih sedekad untuk memerangi IS, yang pernah menguasai sebahagian kawasan di Syria dan Iraq antara 2014 hingga 2019.

Kerajaan Syria kini diterajui bekas kumpulan pemberontak yang menggulingkan bekas Presiden, Bashar al-Assad tahun lalu selepas perang saudara selama 13 tahun, termasuk bekas anggota cabang Al-Qaeda Syria yang memutuskan hubungan dengan kumpulan itu dan bertempur dengan IS. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN