Sanusi hanya ambil kesempatan gesa ahli UMNO kekal MN

Sanusi hanya ambil kesempatan gesa ahli UMNO kekal MN

SHAIFUL HAZIZY ZAINOL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor didakwa tidak menerima kerjasama antara parti apabila hanya mengajak ahli dan penyokong UMNO mengekalkan semangat Muafakat Nasional (MN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, kenyataan Muhammad Sanusi perlu diperhalusi secara mendalam sama ada dalam bentuk tersurat dan tersirat.

“Kenyataan Sanusi mengikut laporan media langsung tidak mengalu-alukan sebarang kerjasama intra parti, namun lebih bersifat ingin memancing dan mengambil kesempatan terhadap perkembangan politik semasa.

“UMNO Kedah yakin sebarang keputusan politik perlu dinilai secara lebih strategik, tenang dan tidak terburu-buru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan Pas mengajak ahli dan penyokong UMNO untuk mengekalkan semangat MN menjelang PRU16 demi perpaduan ummah dan kestabilan politik negara.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas berkata, Pas terbuka menerima mana-mana ahli UMNO yang mahu bersama perjuangan Pas meskipun mereka masih berorganisasi dalam UMNO.

Shaiful Hazizy berkata, UMNO Kedah sentiasa menyambut baik sebarang usaha memperkukuh ukhuwah dan mengangkat kewibawaan bangsa Melayu dan agama Islam.

“UMNO Kedah masih percaya kepentingan silaturahim dan pergaulan sosial yang sihat tanpa mengira sentimen dan fahaman politik tertentu kerana keputusan politik yang berlandaskan emosi akan mengundang kepada kerapuhan dan bersifat sementara.

“Kami berpandangan sebarang bentuk kerjasama politik harus diberi pertimbangan teliti dan berobjektif berdasarkan pengalaman lalu. Ia perlu diperbaharui dengan semangat yang segar dan menang-menang,” katanya.

Tambah beliau, Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO terbuka dan mampu membuat penilaian terhadap apa jua cadangan untuk kembali mewujudkan pakatan politik demi survival dan kestabilan parti. 

“Namun, ahli perlu lebih tenang dan menilai sebarang bentuk kerjasama politik dengan lebih objektif dan berdaya tahan. 

“Jika ada perbincangan untuk mengembalikan MN yang baharu, ia haruslah bersifat menyeluruh dan bertunjangkan perpaduan Melayu tanpa meminggirkan hak kaum lain serta membenarkan perbezaan pandangan yang sihat dan konstruktif. 

“UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus kekal sebagi sebuah koalisi yang selesa didampingi serta menjadi asas perlindungan terhadap kaum-kaum yang lain sejak sekian lama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×