GEORGE TOWN : Seorang saintis kerugian sebanyak RM466,078 selepas terpedaya dengan satu skim pelaburan mata wang asing atau Forex melalui aplikasi pelaburan dalam talian yang dikenali sebagai Digital Realtyv.
Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, laporan mengenai kejadian itu diterima oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, semalam.
Katanya, mangsa yang juga seorang lelaki berusia 26 tahun dilaporkan mengenali suspek melalui aplikasi Xion Hong Shu awal September lalu sebelum ditawarkan untuk menyertai pelaburan tersebut yang kononnya mampu memberikan pulangan yang tinggi dalam masa yang singkat.
Beliau berkata, tertarik dengan tawaran berkenaan, mangsa yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang kemudian diminta memuat turun aplikasi Digital Realtyv untuk mendaftar sebelum boleh mula melabur.
“Pada 6 Oktober lalu, mangsa membuat bayaran pertama berjumlah RM4,500 ke dalam satu akaun bank milik individu. Mangsa menerima pulangan sebanyak RM4,754 pada hari yang sama dan berjaya mengeluarkan wang berkenaan sekali gus meyakinkan dia untuk terus melabur,” katanya di sini, hari ini.
Jelas Azizee, mangsa seterusnya menambah pelaburan sehingga mencecah RM466,078 melalui 13 transaksi ke tujuh akaun bank yang berbeza dari 6 Oktober hingga 17 November, namun, mulai curiga selepas tidak dapat mengeluarkan keuntungan dan perlu membuat bayaran tambahan bagi tujuan pengeluaran.
“Menyedari dirinya ditipu, lelaki itu kemudian tampil membuat laporan polis dan kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.-UTUSAN










