Merkuri tumpah selepas mesin tekanan darah pecah di pusat dialisis

Merkuri tumpah selepas mesin tekanan darah pecah di pusat dialisis

DUA anggota Hazmat sedang memeriksa kawasan yang dicemari tumpahan merkuri di sebuah pusat dialisis di George Town, Pulau Pinang hari ini.-GAMBAR/IHSAN JBPM PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kira-kira 200 mililiter (ml) merkuri tumpah selepas sebuah mesin tekanan darah dipercayai pecah dalam satu kejadian di sebuah pusat dialisis di sini.

Ketika kejadian, terdapat dua kakitangan yang sedang bertugas dan mereka dikatakan menyedari bahawa merkuri itu tertumpah semasa beg simpanan mesin tersebut dibuka.

Bagaimanapun, tiada pesakit buah pinggang yang terjejas kerana kejadian tumpahan merkuri itu dilaporkan berlaku di sebuah bilik utiliti di tingkat tiga manakala pesakit yang sedang menerima rawatan dialisis pula ditempatkan di tingkat empat dan lima bangunan yang sama.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan kira-kira pukul 8.50 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai kemudian dikerah ke lokasi dengan dibantu oleh Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari BBP Bayan Baru.

“Komander Operasi Hazmat yang berada di lokasi kemudian membuat ‘size up’ dan mengarahkan anggota bertindak memakai PPE (peralatan perlindungan diri) yang lengkap bagi melakukan kerja-kerja mengawal pencemaran merkuri menggunakan serbuk sulfur.

“Tumpahan seterusnya dikumpul dan dialihkan ke dalam beg pelupusan bahan berbahaya bersama-sama beberapa peralatan lain yang didapati tidak selamat untuk digunakan semula sebelum kerja-kerja pembersihan kawasan tumpahan dilakukan dengan menggunakan cecair peluntur.

“Bacaan pH (kaedah bagi mengukur tahap keasidan serta kealkalian sesuatu bahan) kemudian diambil bagi memastikan keadaan selamat dan pemantauan dilakukan di lokasi bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain,” katanya yang memberitahu, operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 11.49 pagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN