Rapid KL lanjut waktu operasi sempena ambang tahun baharu 2026

Rapid KL lanjut waktu operasi sempena ambang tahun baharu 2026

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rapid KL melanjutkan waktu operasi perkhidmatan rel sehingga pukul 2 pagi sempena sambutan ambang Tahun Baharu 2026 yang berlangsung pada malam 31 Disember ini.

Rapid KL memaklumkan, perkhidmatan BRT Laluan Sunway, beberapa laluan bas terpilih serta perkhidmatan Rapid KL On-Demand (ROD) pula akan beroperasi sehingga pukul 2.30 pagi pada 1 Januari 2026.

“Langkah berkenaan bertujuan memastikan pergerakan penumpang selepas tamat acara sambutan dapat berjalan dengan lebih selamat, terkawal dan teratur, selain membantu pengguna merancang perjalanan pulang dengan lebih baik.

“Lanjutan operasi kali ini melibatkan 20 stesen rel, tujuh stesen BRT, 21 laluan bas utama dan perantara Rapid KL serta sembilan zon perkhidmatan ROD,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rapid KL, bagi memastikan keselesaan pengguna, kekerapan tren akan dipertingkatkan di semua laluan rel bermula pukul 7.30 malam (31 Disember 2025) sehingga pukul 2 pagi ( 1 Januari 2026).

“Pengguna yang ingin menggunakan perkhidmatan ROD dinasihatkan supaya membuat tempahan lebih awal menerusi aplikasi Rapid On-Demand,” katanya.

Dalam pada itu, lebih 3,000 petugas barisan hadapan Rapid KL yang terdiri daripada Polis Bantuan dan kakitangan operasi akan bertugas sepanjang malam ambang tahun baharu bagi memastikan pengurusan penumpang berjalan dengan teratur.

Rapid KL turut menyarankan pengguna menggunakan kad Touch ‘n Go bagi melancarkan perjalanan serta memastikan baki kad mencukupi sebelum memulakan perjalanan.

“Sebagai alternatif, Pas Rapid Kota 1-Hari ditawarkan bagi perjalanan tanpa had sepanjang hari dan sesuai untuk pengguna yang ingin bergerak bebas tanpa perlu memikirkan baki tambang.

“Bagi pengguna yang memilih pembelian token, kaedah pembayaran tanpa tunai kini diterima di semua mesin tiket automatik di stesen rel Rapid KL,” katanya.

Rapid KL turut menggalakkan warga kota menggunakan pengangkutan awam sepanjang sambutan ambang Tahun Baharu ini bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, khususnya di kawasan tumpuan acara.

Untuk maklumat terkini dan perancangan perjalanan yang lebih mudah, orang ramai disarankan mengikuti saluran media sosial rasmi Rapid KL serta memuat turun aplikasi MyRapid. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN