KUALA LUMPUR: Satu-satunya ahli Parlimen berketurunan Orang Asli, Datuk Ramli Mohd. Nor (BN–Cameron Highlands) meminta beliau dilibatkan secara langsung dalam proses merangka dasar berkaitan pindaan Akta Orang Asli 1954.
Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, penglibatannya penting bagi memastikan suara dan kepentingan komuniti Orang Asli diambil kira dalam setiap peringkat penggubalan dasar serta pindaan undang-undang.
“Saya membuat permintaan ini sebagai satu-satunya Ahli Parlimen Orang Asli dari Semenanjung yang terlibat dalam proses penggubalan undang-undang negara,” katanya sebelum memulakan sesi persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk turut serta dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) yang terlibat merangka dasar bagi pindaan tersebut, bagi membolehkan beliau menyumbang dari segi dasar serta memberikan input dalam aspek pentadbiran masyarakat Orang Asli.
Ramli telah memohon untuk menyertai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) bagi hak asasi manusia, pilihan raya dan reformasi institusi; infrastruktur, pengangkutan dan komunikasi; serta hubungan antarabangsa dan perdagangan antarabangsa. – UTUSAN









