Kerajaan komited perkukuh pindaan Akta Orang Asli

Kerajaan komited perkukuh pindaan Akta Orang Asli

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited memperkukuh pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang tidak pernah melalui sebarang pindaan substantif sejak lebih 70 tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pindaan tersebut adalah bagi memastikan hak komuniti itu terus terpelihara, sekali gus menjadi langkah penting dalam mempersiapkan asas kukuh pindaan berkenaan.

“Setakat ini, lebih 1,000 sesi libat urus telah dilaksanakan dengan pelbagai pihak, termasuk para Batin, kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, ahli akademik dan NGO.

“Sesi libat urus hari ini penting sebelum isu tanah Orang Asli dibincangkan di peringkat Majlis Tanah Negara (MTN) yang akan dipengerusikan Perdana Menteri,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Perundingan Orang Asli (MaPOA) di Parlimen, hari ini.

Mesyuarat tersebut melibatkan kepimpinan kerajaan Persekutuan dan negeri, tokoh akademik serta pertubuhan yang prihatin terhadap pembangunan masyarakat Orang Asli.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut berkata, antara isu yang dibincangkan adalah mengenai tanah dan penempatan Orang Asli yang bukan sekadar soal pemilikan fizikal, tetapi juga lambang maruah, kesinambungan warisan dan kunci kemajuan sosioekonomi.

Menurutnya, walaupun pentadbiran tanah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, kerjasama erat dengan kerajaan Persekutuan menjadi tunjang memastikan pindaan yang dicadangkan mengambil kira kepentingan semua pihak.

“Kerajaan komited bagi memastikan pindaan ini bukan sahaja memperkukuh perlindungan hak Orang Asli, tetapi juga membawa perubahan besar dalam kehidupan masyarakat.

“Akses kepada pendidikan berkualiti, infrastruktur yang memudahkan kehidupan seharian, dan peluang ekonomi yang lebih luas adalah matlamat yang akan terus KKDW dan JAKOA perjuangkan,” ujarnya.

Katanya lagi, pindaan Akta 134 akan memberi tumpuan kepada perlindungan hak, akses pendidikan berkualiti, infrastruktur yang lebih baik dan peluang ekonomi yang lebih luas.

“Pindaan ini adalah peluang menulis semula naratif pembangunan Orang Asli agar komuniti ini kekal teguh, berdaya saing dan mampu melakar kejayaan gemilang pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN