KUALA LUMPUR: Parlimen bakal mengadakan sesi pendengaran bersama pada akhir Januari 2026 bagi meneliti cadangan pindaan akta berhubung hak tanah masyarakat Orang Asli.
Sesi pendengaran itu melibatkan tiga Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen iaitu Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi; Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi serta Jawatankuasa Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa.
Menerusi kenyataan bersama pengerusi ketiga-tiga jawatankuasa berkenaan, sesi pendengaran tersebut akan menjadi platform rasmi dan berstruktur untuk pemimpin komuniti serta kerajaan membentangkan pandangan dan keterangan mengenai cadangan pindaan Akta Orang Asli 1954.
Katanya, Parlimen perlu mendengar secara teliti pandangan komuniti terlibat, kementerian berkaitan dan pihak berkepentingan sebelum sebarang pindaan dibentangkan memandangkan isu hak tanah Orang Asli membawa implikasi sosial yang besar.
“Kami menggesa kerajaan Madani mengemukakan deraf awal cadangan pindaan itu secepat mungkin dan tidak lewat daripada tiga bulan sebelum tarikh pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan di Parlimen.
“Pembentangan deraf awal akan membolehkan maklum balas yang bermakna dan substantif daripada komuniti Orang Asli, pertubuhan masyarakat sivil dan pakar-pakar berkaitan,” katanya.
Pada masa sama, jawatankuasa berkenaan turut mencadangkan agar semua pihak berkepentingan menandatangani Perjanjian Tanpa Pendedahan (NDA) dan tidak mengedarkan deraf awal tersebut kepada umum.
Katanya, diharapkan kerajaan akan menerima cadangan-cadangan itu secara positif sebagai langkah konstruktif ke arah memperkenalkan reformasi sebenar dalam proses penggubalan undang-undang di Malaysia.
“Pendedahan awal deraf undang-undang kepada komuniti berkaitan dan jawatankuasa-jawatankuasa pilihan khas Parlimen dwipartisan adalah salah satu ciri penting demokrasi matang dan proses perundangan yang melibatkan penyertaan yang lebih luas.
“Kami juga ingin menekankan bahawa perkara ini melibatkan sebuah komuniti besar yang telah lama terpinggir dengan anggaran seramai 200,000 Orang Asli di Semenanjung Malaysia.
“Kerangka undang-undang yang mengawal hak, tanah, sumber rezeki dan warisan budaya mereka tidak seharusnya dipinda tanpa konsultasi yang kukuh dan penelitian yang terperinci oleh Ahli-Ahli Parlimen daripada semua pihak,” katanya. – UTUSAN










