GEORGE TOWN : Pusat Arkeologi Guar Kepah yang beberapa kali telah ditangguh pembukaannya sebelum ini bagaimanapun dijangka dibuka sepenuhnya kepada umum tidak lama lagi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai, pembukaan tersebut dijadual berlaku pada suku pertama 2026 iaitu selepas sesi penyerahan artifak berkenaan selesai.
Katanya, ketika ini, kesemua bahan artifak itu iaitu 41 rangka manusia bersejarah yang dijumpai di Guar Kepah dan disimpan di Collection Centre of Netherlands (CCNL) di Belanda telah berjaya dibawa pulang ke tanah air.
Jelas Hon Wai, artifak tersebut kini berada di bawah jagaan Jabatan Warisan Negara di Kuala Lumpur dan kerajaan negeri sedang menjadualkan satu sesi penyerahan artifak terbabit iaitu Januari ini bersama Jabatan Warisan Negara serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Jika segala perancangan mengikut jadual, maka, majlis pembukaan rasmi Pusat Arkeologi Guar Kepah di Kepala Batas oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga dijangka berlaku tahun depan iaitu pada suku pertama,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis penyerahan projek cadangan pembinaan ruang kereta kuda dan kereta-kereta antik oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri di Jalan Macalister di sini, hari ini.
Pembukaan Pusat Arkeologi Guar Kepah sebelum ini terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang belum dapat ditentukan kerana urusan pemulangan semula rangka manusia purba yang tersimpan di Belanda ketika itu masih belum selesai.
Dibina berkonsepkan ‘archaeo-edu-tourism’ di atas tapak berkeluasan 0.97 hektar, pusat arkeologi tersebut ketika ini dikatakan telah siap sepenuhnya iaitu sejak tahun lepas.
Selain menyediakan ruang pameran interaktif, ia juga dilengkapi dengan dewan seminar, tapak timbunan cengkerang, ruang pentadbiran serta beberapa kemudahan lain termasuk surau dan tandas untuk kemudahan pengunjung.-UTUSAN










