PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), syarikat usaha sama di antara Kumpulan MMC dan APM Terminals yang berpangkalan di Belanda, melancarkan inisiatif elektrifikasi keseluruhan armada lori di pelabuhan tersebut dalam langkah signifikan dalam memacu agenda kelestarian serta transformasi digital.
Inisiatif tersebut diusahakan melalui perjanjian bersama Terberg Tractors Malaysia (TTM) bagi perolehan kumpulan prime mover elektrik (e-PM) atau lori pelabuhan untuk kegunaan pergerakan di dalam terminal pelabuhan tersebut.
Armada e-PM ini terdiri daripada 52 unit, yang merupakan sebahagian daripada pesanan keseluruhan berjumlah 94 unit, manakala unit selebihnya dikuasakan oleh bahan api konvensional.
Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, inisiatif itu bukan sahaja mencerminkan usaha pihak PTP dalam meningkatkan keupayaan operasi malah iaa hadir pada detik yang sangat bermakna ketika PTP menyambut Ulang Tahun ke-25.
“Ini membuktikan keupayaan kami dalam memberikan hasil dan impak kepada pelanggan, warga kerja, serta kelestarian dunia yang kita kongsi bersama.
“Agenda dekarbonisasi PTP telah berjalan sekian lama berdasarkan kesedaran bahawa langkah ini amat penting bagi menjamin masa depan yang lestari untuk pelabuhan serta industri maritim yang lebih luas.
“Pelan hala tuju kami menyasarkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030, berdasarkan garis dasar 2021,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman berkata, perolehan itu merupakan sebahagian daripada pelan pertumbuhan utama PTP.
“Ia menumpukan kepada usaha mengoptimumkan kapasiti sedia ada kami dan memastikan kesediaan jentera sejajar dengan trajektori pertumbuhan kami.
“Ini menyokong matlamat kami untuk meningkatkan jumlah kapasiti pengendalian terminal kepada kira-kira 16 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) dalam tempoh dua setengah tahun akan datang.
“Pada masa sama, elemen kelestarian tetap diterapkan dalam setiap keputusan yang kami buat seiring dengan pertumbuhan kami,” ujarnya.
Menurutnya, hasil Bukti Konsep (PoC) menunjukkan bahawa sebuah e-PM menghasilkan 4,000 kilogram setara karbon dioksida (kgCO2eq) sebulan berbanding 7,600 kgCO2eq bagi unit konvensional.
“Ini sekali gus mencapai pengurangan pelepasan sebanyak 48 peratus, di samping pengurangan kos operasi bulanan sebanyak 57 peratus bagi setiap unit.
“Selain daripada armada baharu e-PM, kami juga telah membeli lima buah forklift kecil elektrik (e-SF) dan telah mengujinya dalam keadaan operasi sebenar.
“Kami turut mengambil bahagian dalam kerjasama antarabangsa, termasuk inisiatif GreenVoyage2050 oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), Kerjasama Australia bagi Infrastruktur (P41) serta memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pelabuhan Melbourne mengenai operasi pelabuhan yang mampan.
“PTP komited sepenuhnya terhadap usaha dekarbonisasi maritim dan pertumbuhan pelabuhan yang bertanggungjawab,” katanya.
Lori pelabuhan tersebut dijadualkan untuk penghantaran pada 2026. Sebagai sebahagian daripada perjanjian, TTM akan turut menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan untuk tempoh selama 24 bulan. – UTUSAN










