TENOM: Projek tebatan banjir Tenom akan diteruskan, walaupun ada beberapa kampung terkeluar daripada jajaran utama pembinaan kemudahan itu.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, tiga kampung iaitu Kampung Ului, Makakagas dan Binai bimbang perkampungan mereka diancam banjir besar pada masa hadapan berikutan kewujudan tembok pemisah antara kampung mereka dan kawasan lain.
Katanya, penduduk daerah ini bertanya sama ada projek tebatan banjir itu akan dibatalkan atau sebaliknya.
“Memandangkan tebatan banjir itu adalah projek kerajaan, maka pelaksanaannya perlu diteruskan.
“Kita berterima kasih kepada Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Sabah kerana turun padang memberi penjelasan kepada penduduk kampung terbabit,” katanya pada sesi dialog bersama penduduk disertai JPS Sabah untuk menjawab kebimbangan mereka mengenai pelaksanaan projek itu, di sini hari ini.
Beliau berterima kasih kepada JPS Sabah kerana turun padang memberi penjelasan kepada penduduk kampung terbabit mengenai kedudukan projek tebatan banjir itu.
Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, penduduk ingin mengetahui tindakan susulan selepas fasa satu projek itu dilaksanakan termasuk keadaan kampung yang tidak berada dalam jajaran tebatan sedang dibina.
“Saya dimaklumkan bahawa JPS akan menyediakan cadangan fasa dua untuk dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan.
“Pendekatan itu supaya kawasan yang terkeluar juga menerima bantuan mengurangkan impak banjir jika paras air meningkat,” katanya.
Beliau berkata, cadangan itu membabitkan pelebaran sungai serta menambah kedalaman tebing kawasan yang sebelum ini menjadi sungai mati, tetapi membentuk jajaran baharu berbanding lima tahun lalu.
“Jika fasa dua dapat dilaksanakan, saya yakin masalah banjir di kawasan terbabit akan berkurangan dan penduduk lebih berpuas hati,” katanya.
Jamawi berkata, sebelum ini, penduduk merasakan mereka menjadi mangsa keadaan, tetapi selepas diberikan penjelasan JPS, mereka faham projek itu perlu diteruskan.
Sehubungan itu, katanya, kajian JPS menunjukkan paras air boleh meningkat lapan hingga 12 inci jika tiada kerja pengorekan menambah kapasiti takungan air. – UTUSAN










