PUTRAJAYA: Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima bayaran zakat perniagaan kira-kira RM33.76 juta daripada 28 buah syarikat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kutipan zakat perniagaan tahun ini merekodkan peningkatan sebanyak 9.4 peratus berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM135.4 juta.
Katanya, pada tahun 2024, zakat perniagaan adalah penyumbang kedua terbesar dengan kutipan berjumlah RM183.8 juta, iaitu 16 peratus daripada kutipan zakat keseluruhan.
“Sumbangan ini mencerminkan komitmen berterusan sektor korporat dalam menunaikan tanggungjawab sosial dan agama demi kesejahteraan masyarakat, khususnya di Wilayah Persekutuan,” katanya ketika berucap di Majlis Korporat Zakat 2025, di sini, hari ini.
Beliau berkata, setiap bayaran zakat bukan sekadar angka, sebaliknya amanah yang menghubungkan kejayaan korporat dengan harapan golongan memerlukan.
“Bantuan zakat ini bakal meringankan beban golongan asnaf yang hidup dalam kesusahan, malah jelas terpancar kegembiraan pada wajah mereka apabila bantuan sampai kepada yang benar-benar memerlukan,” katanya. – UTUSAN










