SHAH ALAM: CTDK Holdings milik Datuk Seri Siti Nurhaliza serta DHerbs milik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman tampil sebagai pembayar zakat perniagaan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini.
Siti Nurhaliza mewakili CTDK Holdings Sdn. Bhd. menyerahkan zakat pendapatan kepada LZS sebanyak RM98,233.05 sementara DHerbs (Malaysia) Sdn. Bhd. yang diwakili anak Aliff Syukri, Amar Ahyan sebagai pengarah pula menyerahkan RM900,000 zakat perniagaan.
Mereka antara 22 pembayar zakat perniagaan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM6.12 juta kepada Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Amrin Buang sambil disaksikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang berkenan hadir pada majlis tersebut.
Selain Siti Nurhaliza dan DHerbs, antara pembayar utama zakat perniagaan ialah Aura One Resources (Malaysia) Sdn. Bhd. yang menyerahkan RM702,432.50 kepada LZS, XpertsCo Sdn. Bhd. (RM624,161.30), Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (RM599,160.82), Advanced Air Traffic System (Malaysia) Sdn. Bhd. (RM550,000), Bawal Sdn. Bhd. (RM500,000) dan Public Islamic Bank Berhad (RM400,000).
Worldwide Holdings Berhad turut menyerahkan dana wakalah agihan zakat bernilai RM200,000 untuk disalurkan kepada program kebajikan, pendidikan dan pembangunan belia yang diusahakan oleh Tengku Amir Shah melalui Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS).
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Khaidzir Shahari berkata, majlis hari ini dianjurkan LZS bersama YRMS, iaitu sebuah organisasi membangunkan potensi belia, memperkasakan pendidikan dan memupuk keusahawanan dalam kalangan golongan B40 dan asnaf.
“Zakat Selangor ditadbir urus secara profesional dan buktinya kini kami berjaya meningkatkan kutipan zakat di negeri Selangor daripada RM15.9 juta pada 1995 kepada RM1.22 bilion pada 2024.
“Malah, agihan juga melonjak RM16.3 juta kepada RM1.19 bilion dalam tempoh sama. Prestasi membanggakan itu bersamaan dengan kadar 17 peratus peningkatan secara purata tahunan,” katanya ketika berucap, pada majlis itu.
Tambahnya, bagi 2025, LZS menetapkan sasaran kutipan zakat keseluruhan sebanyak RM1.328 bilion meliputi sasaran khusus bagi kutipan zakat perniagaan sebanyak RM205 juta.
“Kita melihat tren yang sangat memberangsangkan. Tahun lalu, lebih 14,000 buah syarikat, usahawan dan peniaga tampil menunaikan zakat perniagaan dan berjaya menyumbang hampir RM200 juta.
“Tahun ini pula, sehingga kini, LZS menerima zakat perniagaan daripada lebih 8,500 syarikat, usahawan dan peniaga dengan jumlah kutipan melebihi RM117 juta. Ia satu petanda positif bahawa kesedaran korporat terus meningkat,” ujarnya. – UTUSAN










