Sultan Selangor berkenan terima zakat RM64.97 juta

Sultan Selangor berkenan terima zakat RM64.97 juta

Terima zakat
SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan Lembaga Tabung Haji daripada Mohd. Na'im Mokhtar dekat Istana Alam Shah, di Klang, Selangor hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan dan pendapatan berjumlah RM64,974,554.60 daripada 13 buah syarikat korporat dan seorang individu kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS), hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd. Khaidzir Shahari berkata, dalam majlis yang diadakan di Istana Alam Shah itu, Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan wang zakat tertinggi iaitu sebanyak RM28.01 juta.

Menurutnya, serahan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan diikuti syarikat Cyberview Sdn. Bhd. yang diwakili CEO, Kamarul Ariffin, sebanyak RM5.43 juta.

“CEO Perniagaan Global Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Azmi Md. Yusof yang mewakili TNB menyerahkan wang bayaran zakat sebanyak RM4.57 juta. Manakala Kumpulan Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) yang diwakili oleh CEO Kumpulan, Ahmad Hashimi Abdul Manap menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM3.5 juta.

“Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) diwakili Pengerusinya, Datuk Mohd. Irwan Mohd. Mubarak pula menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM3.42 juta,” katanya pada majlis itu yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Senator Datuk Salehuddin Saidin dan Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.

Mohd. Khaidzir berkata, Plus Berhad (Plus) menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM2.6 juta, Kumpulan Proton (Proton) menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM3.19 juta, Kumpulan DRB-HICOM(DRB-HICOM) dengan serahan zakat sebanyak RM2.45 juta.

Sementara Northport (Malaysia) Berhad (Northport) menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM1.64 juta, diikuti Maybank Islamic Berhad menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM1.6 juta dan Kumpulan Etiqa Takaful (Etiqa Takaful) pula membayar RM1.5 juta.

“Turut menyerahkan zakat perniagaan adalah Kumpulan Peladang Kebangsaan (NAFAS) berjumlah RM1 juta dan Edgenta Infrastructure Services Sdn. Bhd. menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1 juta.

“Bagi individu, Datuk Kamarudin Meranun turut menunaikan zakat pendapatan berjumlah RM5.07 juta. Kami amat menghargai komitmen syarikat korporat dan individu yang terus menjadikan LZS sebagai saluran utama pembayaran zakat.

“Sumbangan besar ini memberi impak langsung kepada lebih 350,000 penerima zakat di Selangor melalui pelbagai program bantuan dan pembangunan sosioekonomi,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN