IPOH: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung insiden serangan harimau yang mengakibatkan kematian haiwan ternakan di Bukit Bangkong, Tanah Hitam dekat Chemor, semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki pada pukul 6.30 petang yang memaklumkan dua ekor lembunya ditemui mati dengan kesan gigitan dipercayai akibat serangan harimau.
Katanya, lelaki itu juga mendakwa lima ekor lagi haiwan ternakannya turut hilang di kawasan berkenaan.
“Sebaik menerima laporan, anggota dari Balai Polis Tanah Hitam digerakkan ke lokasi bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi menjalankan pemantauan dan penilaian awal.
“Pihak Perhilitan turut mengambil tindakan memasang kamera perangkap (camera trap) bagi tujuan pengesanan dan pengesahan kewujudan harimau di kawasan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pemantauan diteruskan dari semasa ke semasa, termasuk menyalurkan maklumat kepada agensi berkaitan bagi memastikan kawalan risiko, keselamatan penduduk serta usaha pemuliharaan hidupan liar dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Balai Polis Tanah Hitam atau Perhilitan bagi membantu siasatan.
“Masyarakat setempat juga dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, mengelakkan diri dari memasuki atau mendekati kawasan hutan dan tidak melakukan sebarang bentuk provokasi terhadap haiwan liar demi keselamatan diri dan komuniti,” katanya. – UTUSAN










