KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia membantu wartawan jenayah meningkatkan keupayaan membongkar isu jenayah dan menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau mengalu-alukan penubuhan Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA).
Menurutnya, ahli digalakkan untuk meneroka bidang kewartawanan penyiasatan.
“SPRM turut bersedia menyediakan latihan mengenai prosedur penyiasatan, teknik asas siasatan jenayah, asas undang-undang jenayah serta teknik temu bual sebagai pendedahan kepada wartawan yang ingin menceburi laporan penyiasatan.
“Pemahaman yang lebih baik dalam aspek ini akan meningkatkan keupayaan mereka membongkar isu jenayah dan menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat, sekali gus memberi manfaat kepada orang ramai melalui pelaporan yang lebih dipercayai dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, CiJA ditubuhkan sebagai platform rasmi yang menghimpunkan wartawan jenayah dari pelbagai agensi media arus perdana.
Objektif CiJA adalah untuk menjaga kebajikan ahli, meningkatkan profesionalisme kewartawanan jenayah, serta mengeratkan hubungan strategik antara media dan pasukan keselamatan negara.
Menerusi AGM pertama CiJA semalam, Safeek Affendy Razali dari Berita Harian dilantik sebagai Presiden, manakala Hafidzul Hilmi dari Harian Metro dan Maszureen Hadzman dari Utusan Malaysia dilantik sebagai Timbalan Presiden 1 dan 2.
Wartawan Utusan Malaysia, Nuraina Hanis Abd. Halim dilantik Setiausaha manakala Farik Zolkepli (The Star) pula dinamakan sebagai Bendahari. – UTUSAN










