KUALA LUMPUR: Sokongan berterusan dari keluarga dan pensyarah menjadi tulang belakang buat Julia Qistina Haiqal Mohd. Hafiz memegang graduan Diploma Penyiasatan.
Julia Qistina berkata, kejayaan yang diraih hari ini tidak akan tercapai tanpa sokongan padu ahli keluarga tersayang.
“Terima kasih kepada keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakang, sumber kekuatan dan doa sepanjang saya berada di Unikop,” katanya pada Istiadat Konvokesyen Kolej Unikop Ke-5 bertemakan Sebuah Legasi Kejayaan, Melakar Masa Depan yang berlangsung di Maktab PDRM Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Mengulas pengalaman latihan industri, Julia Qistina merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesudian menerimanya sebagai pelajar latihan industri.
Dia juga berbangga apabila dapat menamatkan pengajian sebagai produk Kolej Unikop, yang menurutnya melahirkan graduan berdaya saing dan berintegriti.
|
Pada majlis berkenaan, Julia Qistina dinobatkan penerima Anugerah Ketua Polis Negara, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta sekeping Gold Coin sebagai pengiktirafan atas kecemerlangan akademik dan sahsiah beliau. – UTUSAN










