GUA MUSANG: Jabatan Kerja Raya (JKR) memasang penghadang konkrit bagi menghalang pengguna jalan melalui kawasan jalan runtuh di Kilometer (KM) 45, Jalan Gua Musang-Lojing dekat Pos Blau, di sini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, syarikat konsesi, Roadcare (M) Sdn. Bhd. telah selesai memasang penghadang konkrit merentasi kedua-dua arah.
Katanya, dua lokasi dipasang penghadang konkrit iaitu di KM 44, Jalan Gua Musang-Lojing dan KM 48, Jalan Lojing-Gua Musang.
“Kita berharap pengguna jalan termasuk pengunggang motosikal tidak merisikokan nyawa melalui kawasan runtuhan berkenaan. Setakat ini, dua saman telah dikeluarkan kepada penunggang motosikal yang melanggar arahan penutupan jalan berkenaan,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengarah JKR Kelantan, Nik Badlihisham Nik Ismail berkata, pemeriksaan kawasan runtuhan tanah telah dijalankan pada Rabu lalu.
Katanya, JKR masih mengkaji kerja-kerja pembaikian di lokasi runtuhan tersebut.
“Pegawai Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR Malaysia telah membuat pemeriksaan pada 3 Disember lepas. Jalan runtuh tersebut masih dalam kajian lagi untuk pembaikan. Setakat ini, pengguna perlu menggunakan dua laluan alternatif yang telah disarankan JKR,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Jalan Gua Musang-Lojing di Kilometer 45 berhampiran Pos Blau di sini, ditutup kepada semua kenderaan susulan kejadian tanah runtuh bermula awal pagi. – UTUSAN










