PETALING JAYA: Polis menahan seorang lagi suspek utama yang dipercayai terlibat dalam kes penemuan mayat seorang wanita dalam sebuah beg yang ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Jalan Pedas-Linggi, Rembau, Negeri Sembilan semalam.
Penahanan suspek lelaki yang juga suami kepada si mati dilakukan di sekitar Genting Sempah tidak sampai 24 jam selepas polis menahan suspek pertama di Melaka, petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, suspek pertama berusia 41 tahun dipercayai merupakan rakan kepada suami si mati.
Katanya, rentetan itu, pihaknya menahan suami kepada si mati yang juga suspek utama dalam kes ini.
“Kita baharu sahaja tahan di Genting Sempah tadi, satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Siasatan awal, suami mangsa mengakui terlibat dalam kes kehilangan wanita ini, bagaimanapun siasatan lanjut sedang dilakukan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini. – UTUSAN










