KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bakal dibentang di Dewan Rakyat tahun hadapan.
Ia bertujuan membezakan antara pemberi maklumat sebenar dan penjenayah yang cuba berselindung di sebalik undang-undang berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pindaan itu juga bertujuan memperjelas peranan whistleblower supaya perlindungan undang-undang hanya diberikan kepada individu yang benar-benar melaporkan salah laku.
Katanya, kerajaan telah menetapkan seorang menteri yang bertanggungjawab dalam memastikan undang-undang tersebut diperkemaskan bagi menutup sebarang kelompongan yang wujud dalam pelaksanaan akta berkenaan.
“Untuk menentukan kaedah yang tetap membezakan antara whistleblower dengan penyamun, perasuah atau penjenayah yang terlindung dengan peraturan ataupun akta whistleblower.
“Saya percaya menteri berkenaan akan segera membentangkan sekiranya ada kelompongan,” katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Abun Sui Anyit berhubung penggubalan undang-undang whistleblower.
Menurut Anwar, usaha itu mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan perlindungan terhadap pemberi maklumat dilaksanakan secara adil dan berkesan serta mengekang sebarang penyalahgunaan kuasa. – UTUSAN











