Penolong pegawai didakwa salah guna jawatan dapat suapan buat isteri

Penolong pegawai didakwa salah guna jawatan dapat suapan buat isteri

TERTUDUH (tengah) dibawa keluar dari mahkamah selepas berdepan tuduhan menyalahgunakan jawatan bagi mendapatkan suapan buat isteri di Mahkamah Seksyen Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang penolong pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) di negeri ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen, di sini, hari ini, atas dakwaan menyalahgunakan jawatan mendapatkan suapan buat isterinya. 

Tertuduh, Mohd Ruhaizul Md Isa@Mansor, 45, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.   

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Ruhaizul didakwa telah menggunakan jawatan bagi meluluskan baucer bayaran atas nama syarikat milik isterinya berkaitan perolehan makanan dan minuman berjumlah RM7,350. Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat APM negeri antara tempoh 28 hingga 30 Ogos 2016. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan dibawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta SPRM 2009. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Fariz Abdul Hamid dan Pegawai Pendakwa SPRM negeri, S. Sujatha manakala tertuduh diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim. 

Semasa prosiding, pihak pendakwaan memohon agar mahkamah dapat mengenakan jaminan setimpal kepada tertuduh berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin. 

Peguam tertuduh bagaimanapun meminta pertimbangan agar anak guamnya dapat diberikan jaminan munasabah berikutan mempunyai enam tanggungan termasuk isteri, selain ibunya yang uzur dan lanjut usia.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Januari depan. Tertuduh turut membayar jaminan dikenakan itu.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×