Pengasas Top Glove lancar biografi, kongsi kejayaan 30 tahun dalam dunia perniagaan - Utusan Malaysia

Pengasas Top Glove lancar biografi, kongsi kejayaan 30 tahun dalam dunia perniagaan

LIM Wee Chai (kiri) pada majlis pelancaran biografi beliau edisi terjemahan Bahasa Melayu dan Mandarin di Setia Alam, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Top Glove Corporation Bhd. (Top Glove), Tan Sri Dr. Lim Wee Chai merakamkan perjalanan beliau selama lebih 30 tahun dalam dunia perniagaan melalui pelancaran biografi yang kini diterjemah ke dalam Bahasa Melayu dan Mandarin.

Ia susulan kejayaan pelancaran biografi beliau dalam bahasa Inggeris pada November 2024 yang mendapat sambutan hangat bertajuk `Must Know, Must Do, Must Teach.’

Biografi versi Bahasa Melayu bertajuk `Mesti Tahu, Mesti Buat, Mesti Ajar,’ merakamkan perjalanan 30 tahun beliau dalam dunia perniagaan bermula dari kampung halamannya di Titi, Jelebu, Negeri Sembilan, sehingga ke peranannya menerajui Top Glove Corporation, pengeluar sarung tangan terkemuka di dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lim berharap, pelancaran versi terjemahan itu dapat menjadikan kisah hidupnya dalam dunia perniagaan, lebih mudah diakses oleh lebih ramai rakyat Malaysia untuk dijadikan inspirasi bagi mencipta kejayaan.

“Saya melihat ini sebagai peluang untuk menyumbang secara positif kepada orang ramai, komuniti, dan masyarakat dengan berkongsi pengalaman serta pandangan saya. Dengan menyampaikan apa yang telah saya pelajari, saya berazam untuk membantu orang lain berkembang dan berjaya, sama seperti saya mendapat manfaat daripada mereka yang telah berkongsi ilmu dengan saya.

“Buku ini bukan sekadar mengenai diri saya atau perjalanan hidup saya, sebaliknya ia adalah mengenai nilai-nilai murni seperti ketabahan, kerja keras, disiplin, dan integriti yang dikongsi merentas komuniti dan masyarakat kita.

“Ia juga menekankan kepentingan kesihatan yang baik dan semangat memberi kembali kepada masyarakat. Dengan membentangkannya dalam Bahasa Malaysia dan Mandarin juga, saya berharap lebih ramai pembaca akan menemui pengajaran dan inspirasi dalam bahasa mereka sendiri,” katanya pada majlis pelancaran itu di Setia Alam, baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini