KUALA TERENGGANU: Mahkamah Majistret di sini, hari ini mendenda seorang penganggur sebanyak RM4,000 selepas mengaku bersalah merakam seorang wanita di tandas sebuah pusat beli-belah, bulan lalu.
Muhammad Syahmi Mat Ros, 24, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan dengan merakam mangsa menggunakan telefon bimbit ketika mangsa berada di dalam tandas wanita.
Perbuatan itu dilakukan pada 20 November lalu, kira-kira 6.12 petang di tandas wanita tingkat satu Mayang Mall di sini.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda RM4,000 atau berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Kes dikendalikan oleh pegawai pendakwa Polis Diraja Malaysia, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Husna Zukepeli @ Zulkifli.
Sebelum ini, tular video berdurasi 26 saat memaparkan seorang lelaki berbaju Aku Kuat Aku Ultraman melarikan diri selepas dipercayai merakam seorang wanita secara sembunyi di tandas pusat beli-belah berkenaan. – UTUSAN










