TASEK GELUGOR: Dewan Pemuda Pas Kawasan Tasek Gelugor menggesa Pas Pusat untuk membuat keputusan bagi memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di semua peringkat.
Ketuanya, Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Anwar berkata, pada masa yang sama, pimpinan Pusat juga disaran untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap semua lantikan melibatkan ahli parti terbabit di semua negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).
“Kami juga menggesa Pas untuk bertanding dan merampas semua kerusi Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri) yang dimenangi Bersatu di bawah logo PN dan Pas pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas.
“Tindakan ini adalah wajar dan adil untuk dipertimbangkan susulan daripada tindakan khianat dan tikam belakang oleh parti Bersatu di peringkat pusat dan negeri Perlis yang telah berkomplot untuk menumbangkan Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, Mohamad Ikhwan Afiq berkata, parti Bersatu ternyata sebuah parti yang hanya tahu mengambil kesempatan terhadap kekuatan dan keikhlasan Pas selain hanya tahu menumpang dan menunggang slogan penyatuan ummah untuk kepentingan serta keuntungan politik mereka semata-mata.
“Sudah tiba masanya Pas tegas dan berani untuk memutuskan hubungan dengan parti Bersatu atas sebab pengkhianatan ini. Ini bukan kali pertama, malah, sudah berkali-kali. Namun, Pas tetap berjiwa besar untuk mempertahankan agenda besar penyatuan ummah,” kata beliau.
Jelas Mohamad Ikhwan Afiq, parti Bersatu bagaimanapun tidak pernah ikhlas dan menghargai persahabatan bersama Pas, sebaliknya, hanya menjadikan Pas sebagai batu loncatan semata-mata untuk memenangi pilihan raya dan meraih laba politik.
“Oleh yang demikian, Dewan Pemuda Pas Kawasan Tasek Gelugor mewakili suara akar umbi di semua peringkat untuk menggesa Pas Pusat membuat keputusan tegas dan tuntas bagi memutuskan hubungan dengan parti Bersatu dengan serta-merta,” tegasnya. – UTUSAN










