Kabinet Sabah atas mandat rakyat untuk pentadbiran stabil

Pembentukan Kabinet Sabah atas mandat rakyat untuk pentadbiran stabil

ARMIZAN MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kabinet Kerajaan Sabah dibentuk hari ini atas komitmen wakil parti yang terlibat untuk membentuk kerangka dan asas hala tuju negeri, selaras dengan mandat rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, walaupun tiada gabungan parti memperoleh majoriti mudah menubuhkan kerajaan, namun mandat rakyat keluar mengundi jelas mengisyaratkan hasrat agar sebuah kerajaan stabil dapat dibentuk untuk membawa perubahan lebih bermakna kepada negeri.

Katanya, dalam komposisi kerajaan campuran ini, ADUN dipilih tanpa mengira latar parti diingatkan supaya memastikan aspirasi rakyat Sabah dilaksanakan segera melalui pentadbiran yang stabil, inklusif dan berintegriti. 

“Meskipun kesemua lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas pernah menjadi pimpinan parti GRS sebelum hari penamaan calon, suara mereka kini atas kapasiti Bebas dilihat tetap signifikan dalam memastikan kestabilan politik serta menyumbang kepada pengukuhan pentadbiran negeri.

“Agenda mendahulukan dan mengutamakan hak serta kepentingan Sabah akan menjadi teras utama pentadbiran, sebagaimana yang termaktub dalam aku janji pilihan raya parti-parti dan ADUN yang terlibat dalam pembentukan kerajaan campuran tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Armizan, Kabinet Negeri bertanggungjawab memaklumkan kepada rakyat mengenai kerangka dan asas agenda utama Sabah sebaik Mesyuarat Jemaah Menteri pertama dilaksanakan, termasuk keutamaan dasar yang akan digerakkan dalam tempoh terdekat.

Pada masa sama, katanya peranan ADUN pembangkang sebagai mekanisme semak dan imbang kekal penting dalam memperkukuh sistem demokrasi negeri.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN