SEPANG: Seorang pemandu e-hailing warga emas cedera parah di leher akibat dikelar di kawasan letak kereta di Bandar Baru Salak Tinggi, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian pukul 9.40 malam itu, wanita berusia 60 tahun itu diserang dan dikelar suspek menggunakan senjata tajam dipercayai kerambit.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, mangsa yang turut cedera di lengan kiri telah dikejarkan ke Hospital Cyberjaya bagi mendapatkan rawatan.
Beliau berkata, siasatan mendapati, suspek yang juga lelaki tempatan berusia 69 tahun telah melarikan diri menggunakan kereta milik mangsa jenis Perodua Bezza.
“Bagaimanapun, suspek akhirnya berjaya diberkas kira-kira pukul 11.15 malam hari sama selepas kereta dipandu terbabit kemalangan di Taman Desa Melati, Fasa 3, Nilai.l, Negeri Sembilan.
“Suspek ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan kecederaan di leher di dalam kenderaan mangsa, selain polis turut merampas sebilah pisau kerambit.
“Suspek turut di bawa ke Hospital Cyberjaya dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, atau sehingga 20 tahun penjara jika menyebabkan kecederaan kekal.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Faiz Zuki di talian 011-27328077 atau balai polis berhampiran. – UTUSAN










