Pasangan peneroka terakhir Felda Sungai Tekam Getah

Pasangan peneroka terakhir Felda Sungai Tekam Getah

WAN Yusof Sa’ad dan Wan Zaharah Wan Omar ditemui di Felda Sungai Tekam Getah, Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Dalam usia mence­cah hampir seabad, pasangan suami isteri peneroka Felda Sungai Tekam Getah di sini, Wan Yusof Sa’ad, 95, dan Wan Zaharah Wan Omar, 89, menjadi saksi hidup kepada sejarah getir awal pembukaan tanah rancangan Felda.

Pasangan berasal dari Kampung Laut, Tumpat, Kelantan itu berhijrah ke Felda Sungai Tekam Getah pada Oktober 1963 demi menyahut seruan Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dengan menaiki kereta api serta sehelai sepinggang demi tekad mengubah nasib keluarga.

Perjalanan ke tanah rancangan ketika itu penuh cabaran apabila mereka perlu menyewa kenderaan dari Jerantut dan menyeberangi Feri Jerantut, sebelum meneruskan perjalanan sejauh kira-kira 30 kilometer (km) melalui laluan hutan.

Wan Yusof berkata, kawasan ladang ketika itu masih dikelilingi hutan tebal, malah kehadiran harimau, seladang dan gajah sering mengancam keselamatan penduduk termasuk di sekitar rumah peneroka.

“Waktu itu Felda Wilayah Jengka belum wujud, jalan masuk pula hanya laluan peninggalan British yang menghubungkan Maran, Jerantut dan Kuala Kubu Bharu. Semuanya serba kekurangan tetapi semangat kami kuat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Wan Yusof berkata, kehidupan sebagai peneroka pada era awal sangat mencabar kerana sistem penerokaan masih baharu, hanya mereka yang tabah dan berjiwa kental mampu bertahan sehingga berjaya.

Katanya, hasil titik peluh dan pengorbanan selama puluhan tahun, dia dan isteri dikurniakan sembilan anak, 35 cucu dan enam cicit, sekali gus membuktikan kejayaan Felda sebagai pemangkin perubahan sosial dan ekonomi masyarakat luar bandar.

Dia turut merakamkan peng­hargaan kepada Tun Abdul Razak dan kerajaan negeri kerana membuka pintu kepada orang luar untuk menjadi peneroka dan membina kehidupan baharu di Pahang.

“Kami mahu tinggal di sini sampai akhir hayat. Di sinilah mahligai cinta kami dibina, penuh suka duka sebagai peneroka,” katanya.

Warga emas yang memiliki nombor badan peneroka 1574 itu merupakan bekas anggota polis British.

Selepas merdeka, Wan Yusof berkhidmat di beberapa negeri termasuk Gua Musang, Kelantan dan Raub. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN