Pas tidak anggotai Exco Perlis

Pas tidak anggotai Exco Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis yang baharu sebagai tanda solidariti kepada peletakan jawatan Mohd. Shukri Ramli, Khamis lalu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, semua anggota EXCO sedia ada daripada Pas juga akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring dengan peletakan jawatan Mohd. Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.

“Pas komited untuk meneruskan kelangsungan dan keberadaan Pas dalam Kerajaan Negeri Perlis selaras dengan mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada PRU-15.

“Namun, pada masa sama PAS tidak akan menganggotai EXCO yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis (Abu Bakar Hamzah) yang baharu dan semua anggota EXCO sedia ada daripada PAS akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring dengan peletakan jawatan mantan Menteri Besar yang lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga menegaskan komitmen PAS untuk kekal selamanya menghormati lunas-lunas undang-undang, prinsip-prinsip demokrasi, konsep Raja berperlembagaan serta kebijaksanaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail demi kemaslahatan negeri dan rakyat.

Hubungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN bergelora ekoran tindakan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis menarik sokongan kepada ADUN Sanglang, Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.

Mohd. Shukri kemudian meletakkan jawatan sekali gus menyebabkan Pengerusi Bersatu Perlis, Abu Bakar dilantik mengetuai kerajaan negeri Perlis.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN bermula 1 Januari ini.

Muhyiddin dilaporkan berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan PN yang telah memberikan sepenuh sokongan kepada beliau selama memimpin gabungan itu sejak penubuhannya lima tahun lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN