BATU KAWAN : Sebanyak 217 kompaun yang dianggarkan bernilai RM262,300 telah dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang sepanjang Ops GERAK Kebangsaan di sini yang berlangsung selama lima hari bermula Jumaat lalu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 116 tawaran kompaun bernilai RM232,000 dikeluarkan kepada pemilik kenderaan berenjin diesel manakala baki 101 kompaun lagi (RM30,300) diberi kepada penunggang motosikal yang gagal mematuhi had pelepasan di bawah peraturan yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Pengarah JAS negeri, Badlishah Ahmad berkata, secara keseluruhannya iaitu sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 712 kenderaan telah diperiksa membabitkan 523 kenderaan yang menggunakan enjin diesel, 67 (petrol) serta 125 motosikal.
Beliau berkata, selain mengeluarkan 217 kompaun, pihaknya juga mengeluarkan sebanyak lima kertas siasatan mahkamah, 332 Notis Arahan Seksyen 48A bagi ujian semula serta 49 Perintah Larangan.
“Selain diberikan kompaun, pemilik kenderaan yang gagal mematuhi had pelepasan ini juga perlu memastikan kenderaan mereka diselenggara dan diuji semula di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mengikut tempoh ditetapkan bagi memastikan kenderaan berkenaan selamat untuk digunakan,” katanya di sini, hari ini.
Untuk Pulau Pinang, Ops GERAK Kebangsaan dijalankan di lima lokasi berasingan iaitu di Plaza Tol Sungai Dua (arah selatan), Plaza Tol Juru (arah utara), Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Plaza Tol Jambatan Kedua serta Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di Jalan Batu Maung.
Operasi tersebut yang secara keseluruhannya melibatkan 116 anggota itu turut melibatkan beberapa agensi lain termasuk polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), PLUS Malaysia Berhad, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain.
Sementara itu, kesalahan lain yang turut dikesan dalam operasi tersebut ialah berkaitan trafik iaitu sebanyak 177 kesalahan, 222 notis tindakan penguatkuasaan oleh JPJ serta tiga tangkapan positif dadah oleh AADK daripada 18 saringan yang dlakukan sepanjang operasi berlangsung.









