PETALING JAYA: Remaja lelaki yang dihanyutkan arus ketika cuba mengambil bola di dalam longkang di Lorong 1/3A Taman Prima Saujana, Kajang masih belum ditemukan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja lelaki itu yang memasuki hari ketiga, diperluaskan sehingga 10 kilometer membabitkan dua zon pencarian hari ini.
Katanya, operasi SAR hari ini bermula pukul 9.30 pagi tadi.
“Operasi hari ini dipecahkan kepada dua zon pencarian dengan jarak lebih kurang 10 kilometer bermula dari lokasi kejadian seterusnya ke Jalan Mendaling menuju Jalan Reko.
“Kekuatan agensi yang digunakan lebih kurang 65 pegawai terdiri daripada polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dibantu dua anjing pengesan (K9) bomba dan APM,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, SAR turut bersama Team Skuba Bomba dan Unit Dron APM serta dua bot wholly bagi menyusuri Sungai Langat ke arah Dengkil.
Kelmarin, dua beradik lelaki berusia 12 dan 14 tahun dikhuatiri lemas selepas didakwa terjatuh dan dihanyutkan arus deras ketika cuba mengambil bola dalam longkang besar di Lorong 1/3A, Taman Prima Saujana, Kajang.
Mangsa berusia 12 tahun ditemukan pada 7.47 malam kelmarin di Sungai Merbau di Kampung Sungai Kantan, kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang. – UTUSAN










