Onkofertiliti beri peluang pesakit kanser hamil

Onkofertiliti beri peluang pesakit kanser hamil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Wanita dan lelaki yang mengalami kanser perlu berjumpa pakar onkofertiliti jika ingin memiliki cahaya mata sebelum memulakan rawatan kanser yang boleh menjejaskan kualiti telur dan sperma mereka.

Pakar Onkofertiliti seterusnya akan meneliti apakah rawatan kanser yang bakal diberikan doktor kanser sebelum membuat keputusan sama ada pesakit perlu membekukan telur atau sperma mereka sebelum atau selepas rawatan kanser.

Pakar Sakit Puan, Kesuburan dan Onkofertiliti Pusat Reproduktif Termaju, Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Faizal Ahmad berkata, selepas diagnosis kanser, pesakit maklumkan kepada doktor jika mahu hamil dan dalam tempoh seminggu, perlu jumpa Pakar Onkofertiliti.

“Telur wanita atau ovum boleh disimpan antara 10 sehingga 15 tahun. Jadi, kalau kena kanser pada tahun ini, boleh ambil telur yang disimpan itu semula selepas 10 tahun jika mahu mengandung. Ini kerana selepas kemoterapi biasanya kualiti telur akan terjejas.

“Terapi kanser juga biasanya berkemungkinan menyebabkan kemandulan kekal. Justeru pentingnya rawatan onkofertiliti. Terutama kanser membabitkan lelaki. Testis akan mati terus selepas menjalani radiasi,”katanya.

Katanya, sebaiknya perlu bekukan sperma dahulu sebelum menjalani rawatan kanser. Walaupun pesakit membekukan sperma pada usia 18 tahun, mereka masih boleh menggunakan sperma mereka semula selepas 30 tahun untuk mendapatkan zuriat.

Beliau berkata demikian pada Program Hari Bersama Media 2025 bersama Pusat Reproduktif Termaju (ARC), Pusat Kecemerlangan di bawah HCTM. Tahun ini, HCTM mengetengahkan tema Penantian Demi Kebahagiaan: Menghayati Liku Perjalanan IVF, sebuah tema yang cukup dekat dengan hati banyak pasangan yang berjuang demi zuriat.

Dr. Mohd. Faizal berkata, sejak perkhidmatan Onkofertiliti ditawarkan di ARC pada 2020, lebih 100 pesakit sudah menyimpan sperma mereka bagi kes membabitkan kanser.

Katanya, kebanyakan orang di luar tidak tahu mengenai kaedah ini. Jadi, apabila disahkan ada kanser, mereka segera menjalani rawatan kanser dahulu berbanding datang ke pusat reproduksi untuk menyimpan telur mahupun sperma bagi mendapatkan zuriat di masa depan.

“Sebenarnya, pesakit perlu dirujuk kepada Onkofertiliti dahulu sebelum menjalani sebarang rawatan seperti kemoterapi dan radioterapi. Inilah cabaran yang kami hadapi sebagai pakar kesuburan.

“Sekiranya pesakit segera berjumpa saya selepas disahkan mengalami kanser dan sebelum menjalani rawatan radiasi atau kemoterapi, mungkin rawatan IVF tidak begitu panjang, “ katanya.

Tujuh kali cubaan hamil selepas kanser payudara

Selepas dua tahun mendirikan rumahtangga, Juliana Razid, 43, diuji dengan kanser payudara pada Disember 2016. Namun sebelum menjalani rawatan, Juliana memaklumkan kepada doktor keinginannya untuk hamil dan melahirkan zuriatnya.

Ketika itu Juliana masih bertugas di luar negara manakala suaminya di Malaysia. Mereka hanya bertemu enam bulan sekali. Juliana memohon kepada majikannya untuk pulang ke tanahair untuk menjalani biopsi di Hospital Putrajaya dan disahkan positif kanser.

“Saya dibenarkan pulang ke tanahair semula selepas dijadualkan menjalani pembedahan mastektomi dan nodus limfa, pada Januari 2017.

Sebelum buat kemoterapi, saya beritahu doktor, kami dalam proses mendapatkan cahaya mata. Bagaimanapun, doktor menasihatkan saya untuk mengutamakan dulu rawatan kanser.

“Kanser yang saya alami adalah Mucinius karsinoma tahap 2 gred 2 A1 yang biasanya berlaku ke atas mereka yang berusia 50- an atau sudah menopaus. Kadarnya adalah satu peratus saja pesakit yang kena kanser jenis ini. Namun pada masa itu, saya baru berusia 34 tahun.

Keluarga sebelah ayah dan mak tiada kanser. Saya rasa mungkin saya insan terpilih,”katanya.

Atas nasihat doktor, Juliana menerima seadanya takdir dirinya dan melalui pembedahan membuang payudara sebelah kanan serta 22 nodus limfa bagi mengelakkan kanser merebak.

Wanita berasal dari Perak ini menjalani enam kali kemoterapi. Kemoterapi terakhir adalah pada Julai 2017 dan diikuti dengan pemgambilan tamoxifen selama lima tahun.

Doktor memberikan tempoh selepas setahun bagi membolehkannya hamil.

“Risiko kalau saya mengandung, kanser boleh berulang. Saya tanya doktor apa akan berlaku, katanya kalau berlaku, kena putuskan mana lebih penting antara kehamilan atau rawatan kanser. Selepas semua pemeriksaan termasuk CT Scan menunjukkan dalam keadaan baik, saya dirujuk ke bahagian sakit puan Hospital Putrajaya dari Institut Kanser Negara.

“Berbekalkan perbincangan dengan keluarga dan kami memang mahu memiliki cahaya mata, saya teruskan dengan menjalani IUI (prosedur memasukkan sperma ke dalam rahim) di Hospital Putrajaya. Saya buat empat kali IUI dan berjaya hamil tetapi tidak sempat nampak kantung, ia gugur,” katanya.

Pada 2020, Juliana dirujuk ke HUKM, dan berjumpa Dr. Faizal yang baru pulang dari Jepun. Pada Mei 2020, Juliana berjaya hamil tapi dia mengalami keguguran. Ketika itu Covid-19 sedang meningkat manakala Dr. Faizal ke Jepun sekali lagi untuk mendalami bidang Onkofertiliti.

Dalam tempoh setahun, Juliana dan suami terus berusaha mendapatkan cahaya mata. Mereka cuba menguruskan badan dan akhirnya bersyukur apabila dikhabarkan berjaya mendapat embrio gred 5AA.

“Namun pada masa itu, pemindahan tidak dapat dijalankan kerana pandemik Covid-19. Jadi, kena bekukan dulu embrio berkenaan. Pada November 2021, saya sekali lagi menjalani pembedahan membuang ketumbuhan iaitu polip pada rahim. Pada Disember, saya menjalani pembedahan yang sama buat kali ke dua.

“Selepas pandemik, usaha untuk hamil diteruskan dengan menggunakan embrio yang dibekukan sebelum ini namun malangnya tidak berjaya juga. Masa itu rasa apa lagi yang tidak cukup? Rupanya Allah hendak bagi saya pergi haji dulu dan habiskan master saya,” katanya.

Dalam pada itu, Juliana pergi juga ke pusat kesuburan lain untuk menjalani pemeriksaan dengan membawa semua laporan dan doktor mengatakan tiada masalah dengan prosedur dijalankan. Juliana berpatah semula ke HUKM kerana yakin ia akan membuahkan hasil.

Walaupun selepas tiada langsung ovum malah kualitinya semakin menurun, Juliana tetap meneruskan usaha menjalani prosedur pengambilan ovum (OPU) sehingga tujuh kali. Cubaan ke tujuh pada 2024 adalah terakhir dan mungkin Juliana tidak dapat menjalaninya lagi.

“Saya mengambil bermacam-macam makanan tambahan untuk memastikan kesihatan baik. Pada 17 Disember 2024, kali pertama saya mendengar degupan jantung bayi. Bukan saya saja menangis tetapi doktor juga menangis.

“Sepanjang kehamilan, berat badan saya turun. Saya tidak berani berkongsi berita gembira itu kepada orang lain kerana tiada jaminan ia selamat. Akhirnya, saya melahirkan bayi perempuan pada 24 Julai 2025. Saya menyusukannya dengan sebelah payudara saja. Alhamdulilah cukup tapi perlu campur susu formula,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×