KUALA LUMPUR: Oh My Pet Expo 2025 menyasarkan kehadiran lebih 130,000 pengunjung sepanjang empat hari penganjuran, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara expo haiwan peliharaan terbesar di negara ini.
Pameran yang berlangsung dari 11 hingga 14 Disember itu memberi tumpuan kepada kempen pemilikan haiwan peliharaan secara bertanggungjawab, selaras usaha meningkatkan standard industri haiwan kesayangan di Malaysia.
Penganjurnya, Jaice Tan berkata, edisi kali ini menghimpunkan lebih 500 jenama dan 170 syarikat menerusi 282 ruang pameran, dengan peningkatan jenama tempatan antara 200 hingga 300 peratus sejak penganjuran pertama lapan tahun lalu.
Katanya, selain pameran kepada pengguna, ekspo turut menawarkan program perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dengan penyertaan dari Singapura, Hong Kong dan China bagi membuka lebih banyak peluang kolaborasi dalam rantaian industri haiwan peliharaan.
“Program B2B ini membolehkan usahawan tempatan berhubung terus dengan pengedar antarabangsa, membuka ruang pasaran baharu dan memperluas rangkaian industri.
“Antara peserta yang menunjukkan perkembangan pesat ialah Pet World Nutrition, pengeluar ProBalance dan ProDiet, yang kini berjaya menembusi pasaran China.
“Edisi tahun ini turut memperkenalkan inisiatif baharu dengan menempatkan doktor haiwan bertugas di lokasi ekspo bagi menangani kes kecemasan seperti tekanan haiwan, pergaduhan atau kecederaan ringan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jaice berkata, bagi mengurangkan risiko penyebaran virus, terutama melibatkan anak kucing dan anak anjing yang belum lengkap vaksinasi, kawal selia penjual haiwan turut diperketat.
Katanya, penjual hanya ditempatkan di zon khas dan diwajibkan mengemukakan dokumen lengkap seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Bahagian Perkhidmatan Veterinar Malaysia (BPMS) berkaitan kelulusan veterinar, lesen majistret, surat kuarantin serta lesen import bagi haiwan dari luar negara.
“Langkah ini penting untuk melindungi kesihatan haiwan dan memberi keyakinan kepada pengunjung serta pemilik haiwan.
“Kami mahu pastikan semua haiwan yang dibawa masuk berada dalam keadaan selamat. Jika berlaku sebarang kecemasan, rawatan segera boleh diberikan,” katanya. – UTUSAN










