MetMalaysia guna AI, radar pintar perkukuh amaran awal cuaca ekstrem

MetMalaysia guna AI, radar pintar perkukuh amaran awal cuaca ekstrem

DR. MOHD. HISHAM MOHD. ANIP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) terus memperkukuh sistem amaran awal cuaca ekstrem negara menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan maklumat lebih tepat, pantas dan berkesan disampaikan kepada agensi berkaitan serta orang awam.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, rekod purata ketepatan ramalan cuaca bulanan sekitar 80 peratus dengan tahap ketepatan lebih tinggi dicapai ketika Monsun Timur Laut (MTL).

Menurutnya, sistem amaran awal cuaca ekstrem negara sentiasa ditambah baik selaras dengan peningkatan kekerapan kejadian cuaca ekstrem akibat perubahan iklim global yang semakin ketara.

“Amaran awal hujan berterusan lazimnya dikeluarkan sehingga tiga hari lebih awal dan disalurkan secara langsung kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi pengurusan bencana lain bagi membolehkan persediaan awal dilaksanakan.

“Tempoh amaran sedia ada disifatkan mencukupi untuk tujuan kesiapsiagaan, namun MetMalaysia menjelaskan amaran awal tidak dapat diberikan bagi kejadian hujan lebat ribut petir yang berlaku secara mendadak dalam tempoh beberapa jam sahaja,” katanya.

MetMalaysia turut mengesan peningkatan ketara kekerapan kejadian cuaca ekstrem sejak kebelakangan ini, sejajar dengan kesan perubahan iklim yang memberi impak langsung kepada corak cuaca negara.

Rekod pencerapan dan unjuran jangka panjang sehingga 100 tahun menunjukkan fenomena seperti hujan lebat, ribut petir, angin kencang, cuaca kering dan suhu panas diramal terus meningkat di Malaysia.

Bagi memastikan maklumat cuaca buruk dapat diakses dengan cepat dan mudah difahami, orang ramai digalakkan merujuk saluran rasmi MetMalaysia termasuk platform media sosial, laman web jabatan serta aplikasi myCuaca.

Orang awam juga boleh mendapatkan nasihat dan maklumat cuaca terkini menerusi talian Hotline MetMalaysia sebagai langkah meningkatkan tahap kesiapsiagaan, khususnya bagi penduduk di kawasan berisiko tinggi.

Dalam usaha meningkatkan ketepatan ramalan, MetMalaysia membangunkan Model Ramalan Cuaca Numerikal sendiri yang mampu memberikan unjuran cuaca sehingga tujuh hari ke hadapan.

“Penggunaan teknologi radar, satelit dan kecerdasan buatan menerusi sistem Ramalan Cuaca Bersepadu dan Radar (RaINS) membolehkan ramalan cuaca semasa sehingga tiga jam ke hadapan, sekali gus menyokong tindak balas pantas terhadap kejadian cuaca ekstrem,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN