PETALING JAYA: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Steven Sim Chee Keong atas sumbangan serta khidmat bakti beliau sepanjang tempoh menerajui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Presiden MEF, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, kepimpinan Steven Sim telah membawa transformasi positif kepada kementerian berkenaan menerusi pendekatan yang inklusif, progresif serta berpaksikan hala tuju masa hadapan.
“Beliau bukan sekadar bertindak sebagai pentadbir, sebaliknya tampil sebagai pemimpin penyatu yang mendengar suara pekerja, memahami realiti majikan dan mengimbangi pelbagai pandangan demi kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Steven Sim mempamerkan kepimpinan berteraskan kepercayaan, dialog dan saling menghormati, khususnya dalam pembangunan modal insan negara.
MEF turut menghargai hubungan kerja yang erat dan konstruktif antara KESUMA dan pihak berkepentingan, terutamanya komuniti majikan, yang membolehkan isu-isu tenaga kerja ditangani secara seimbang dan pragmatik.
Katanya, pendekatan kolaboratif itu memastikan dasar buruh digubal secara realistik, mudah dilaksanakan serta selari dengan matlamat daya saing dan ekonomi negara.
“Kerjasama kukuh antara MEF dan KESUMA membolehkan isu-isu sukar dibincangkan secara matang dan penyelesaian dirangka berlandaskan semangat tripartisme, sekali gus memperkukuh keharmonian industri dan ketahanan nasional,” ujarnya.
Di peringkat antarabangsa, Steven Sim turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kedudukan Malaysia dalam arena buruh global menerusi penglibatan aktif bersama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Tambahnya, kerjasama erat antara MEF dan KESUMA di platform ILO mengukuhkan komitmen Malaysia terhadap dialog sosial, pekerjaan bermaruah serta pematuhan piawaian buruh antarabangsa.
“Usaha bersama ini meningkatkan keyakinan global terhadap Malaysia sebagai ekonomi yang bertanggungjawab dan berpandangan jauh,” katanya.
MEF turut merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan dan pegawai KESUMA atas profesionalisme serta komitmen mereka dalam memajukan agenda sumber manusia negara.
Dalam pada itu, MEF menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama secara konstruktif dengan Menteri Sumber Manusia yang baharu, Datuk Sri Ramanan Ramakrishnan, dalam memperkukuh pasaran buruh, meningkatkan daya tahan tenaga kerja serta memastikan dasar pekerjaan kekal seimbang dan mampan.
Katanya, MEF bersedia menyokong inisiatif berkaitan pembangunan kemahiran, produktiviti, keharmonian industri dan pertumbuhan ekonomi inklusif demi manfaat majikan, pekerja serta negara. – UTUSAN










