PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir di enam negeri meningkat kepada 9,261 orang setakat ini susulan hujan berterusan sejak semalam.
Enam negeri terlibat ialah Pahang, Terengganu, Johor, Selangor, Sarawak dan Kelantan.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 2,949 keluarga terjejas dan ditempatkan di 93 pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah dibuka.
Pahang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 8,381 orang, diikuti Terengganu (468), Johor (347), Selangor (47) dan Sarawak (18), manakala tiada mangsa dipindahkan di Kelantan setakat ini.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan hujan lebat dijangka berterusan hingga hari ini di beberapa negeri, khususnya Pahang, Terengganu dan Johor.-UTUSAN










