Malaysia-UAE perkukuh kerjasama pertahanan - Utusan Malaysia

Malaysia-UAE perkukuh kerjasama pertahanan

Mohamed Khaled Nordin bersama rakan sejawatnya, Mohamed Bin Mubarak Fadhel Al Mazrouei menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara di Kementerian Pertahanan UAE, Abu Dhabi baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) terus memperkukuh hubungan strategik pertahanan apabila kedua-dua negara memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan baru-baru ini.

Perkara berkenaan dizahirkan dalam pertemuan dua hala antara Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama rakan sejawatnya, Mohamed Bin Mubarak Fadhel Al Mazrouei di Kementerian Pertahanan UAE, Abu Dhabi sempena lawatan kerja beliau ke Negara Teluk itu.

Mohamed Khaled berkata, menerusi pertemuan tersebut, Malaysia menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas jemputan serta layanan mesra pihak UAE, di samping menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama pertahanan secara konsisten selari dengan hubungan ekonomi dua hala yang sedia terjalin antara kedua-dua negara.

Kata beliau, UAE turut mengiktiraf hubungan akrab Malaysia-UAE serta mengalu-alukan penyertaan syarikat-syarikat Malaysia untuk menjalin kerjasama dengan EDGE Group, iaitu sebuah konglomerat teknologi dan pertahanan milik Kerajaan UAE.

Tambah beliau, Malaysia turut membentangkan keupayaan negara dalam bidang semikonduktor dan komponen aeroangkasa yang berpotensi menyokong rantaian bekalan produk pertahanan EDGE Group pada masa hadapan.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk terus memperkukuh perkongsian maklumat, pembangunan modal insan, kerjasama pertahanan serta pembangunan inisiatif baharu yang membawa manfaat bersama.

“Selain itu, Malaysia turut mencadangkan kolaborasi latihan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di kapal kelas Gowind milik UAE sebagai persediaan mengoperasikan kapal Littoral Combat Ship (LCS) Malaysia yang menggunakan teknologi sama,” katanya dalam satu kenyataan Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, cadangan tersebut disambut baik oleh pihak UAE dan akan diteliti dengan lebih lanjut dari segi bentuk serta keperluan latihan yang bersesuaian.

Jelasnya, Malaysia dan UAE turut memeterai MoU Kerjasama Pertahanan yang disifatkan sebagai satu lagi perbatuan penting dalam hubungan strategik kedua-dua negara.

“Jika sebelum ini kerjasama lebih tertumpu kepada aspek ketenteraan, MoU berkenaan kini meluaskan skop kerjasama pertahanan secara lebih menyeluruh selari dengan aspirasi kedua-dua negara untuk membina hubungan diplomasi pertahanan yang lebih erat, moden dan berpandangan jauh.

“Melalui MoU itu, kedua-dua negara menzahirkan komitmen untuk menggalakkan penyelidikan pertahanan bersama, meneroka pengeluaran produk pertahanan serta membangunkan keupayaan baharu yang memberi manfaat timbal balik,” jelasnya.

Mohamed Khaled berkata, MoU tersebut juga bakal menjadi jambatan penting bagi memulakan libat urus industri dengan segera, khususnya dalam mengenal pasti bidang tumpuan bersama serta potensi projek berimpak tinggi yang boleh dikomersialkan bagi memperkukuh ekosistem industri pertahanan di kedua-dua negara.

Pada masa sama, Malaysia dan UAE komited untuk meningkatkan koordinasi latihan ketenteraan serta perkongsian kepakaran, termasuk pelaksanaan inisiatif latihan bersama bagi memperkukuh kesiapsiagaan, interoperabiliti dan keupayaan angkatan kedua-dua negara.

Beliau juga berharap usaha berterusan ini dapat menyumbang kepada pengukuhan keselamatan dan keamanan serantau serta sejagat, di samping mempererat hubungan dua hala Malaysia-UAE khususnya dalam bidang pertahanan.

Turut hadir dalam lawatan berkenaan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MINDEF, Tuan Mohd Yani Daud; Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman serta Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik MINDEF, Datuk Muhammad Ammir Haron.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Khaled turut berpeluang berkunjung ke Kedutaan Besar Malaysia di UAE, Abu Dhabi.

Beliau berterima kasih kepada Duta Besar, Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin serta seluruh warga Kedutaan atas sambutan mesra dan layanan baik yang diberikan.

“Saya menzahirkan penghargaan atas komitmen yang dipamerkan dalam memperkukuh hubungan Malaysia-UAE, termasuk dalam aspek pertahanan yang cukup penting kepada kedua-dua negara.

“Selain memastikan kepentingan rakyat Malaysia sentiasa terpelihara di luar negara, kedutaan kita berperanan dalam mengukuhkan diplomasi pertahanan, serta menyokong agenda keselamatan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN