Lelaki amuk dengan pedang samurai direman tujuh hari - Utusan Malaysia

Lelaki amuk dengan pedang samurai direman tujuh hari

tahanan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki yang mengamuk hingga mencederakan ibu bapanya dalam kejadian di Persiaran Putra, Bandar Baru Putra, di sini kelmarin direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya memperoleh perintah reman terhadap suspek berusia 29 tahun itu bermula semalam hingga 2 Januari depan.

“Permohonan reman dibuat ke atas suspek bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata berbahaya,” katanya.

Kelmarin, suspek yang dipercayai mengalami masalah mental ditahan pihak polis selepas mencederakan ibu bapanya menggunakan pedang samurai dalam kejadian amuk di Persiaran Putra, Bandar Baru Putra.

Ibu bapa suspek masing-masing berusia 57 tahun yang cedera dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Berdasarkan siasatan awal, suspek mendakwa tidak sedarkan diri ketika bertindak demikian selain memberitahu yang dia berasa dikejar hantu semasa kejadian berlaku.

Hasil semakan pihak polis mendapati, lelaki terbabit mempunyai rekod rawatan kesihatan mental dan dia pernah menerima rawatan di sebuah hospital psikiatri sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN