Lebih 4.7 juta saman JPJ bernilai RM1.42 bilion belum dijelaskan

Lebih 4.7 juta saman JPJ bernilai RM1.42 bilion belum dijelaskan

MUHAMMAD Kifli Ma Hassan (tengah) memeriksa motosikal yang telah diubai suai dalam Op Pelbagai di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,762,238 notis saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bernilai RM1.428 bilion masih belum dilunaskan ketika tempoh diskaun 50 peratus saman berakhir pada Rabu ini.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, statistik setakat 27 Disember merekodkan 702,606 saman bernilai RM93.5 juta telah dibayar pengguna jalan raya.

Menurutnya, JPJ mengalu-alukan dan menggalakkan orang ramai yang masih mempunyai saman tertunggak supaya mengambil peluang membayar dengan diskaun sehingga 50 peratus sebelum tempoh tawaran tamat.

“Seperti yang disarankan oleh Menteri Pengangkutan, mulai 1 Januari tahun depan, semua saman yang tidak dijelaskan akan disenarai hitam,” katanya selepas Op Pelbagai JPJ di Jalan Ampang di sini semalam.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan bahawa kadar serta kaedah kompaun saman trafik JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diselaras bagi menyeragamkan penguatkuasaan undang-undang jalan raya.

Melalui penyelarasan itu, pesalah yang membuat bayaran dalam tempoh 1 hingga 15 hari selepas tarikh notis menikmati pengurangan sebanyak 50 peratus, 33 peratus bagi bayaran dalam tempoh 16 hingga 30 hari, kadar maksimum bagi tempoh 31 hingga 60 hari manakala selepas 61 hari, tindakan mahkamah dan senarai hitam akan dikenakan. 

Sementara itu, Muhammad Kifli, berkata, mana-mana pemilik kenderaan yang didapati menggunakan nombor pendaftaran mengelirukan boleh didenda sehingga RM10,000 di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, tiada kompromi dalam soal itu dan pihaknya mahu mengambil tindakan berkenaan kes ini selain mendapatkan pandangan Timbalan Pendakwa Raya.

“Pemilik kenderaan yang menggunakan nombor fancy ekstrem akan disaman di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu mempamerkan nombor pendaftaran yang mengelirukan.

“Kami telah membawa kes itu ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman minimum RM5,000 dan boleh mencecah RM10,000. 

“Kita dapati sejak akhir ini banyak motosikal dan kereta menggunakan nombor ekstrem hingga mengelirukan agensi penguat kuasa lain,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN