Lebih 100 cawangan MIXUE Malaysia diiktiraf sijil halal JAKIM

Lebih 100 cawangan MIXUE Malaysia diiktiraf sijil halal JAKIM

PENGURUS Besar MIXUE Malaysia, Wang Wei Long dan Pengarah Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Muhyiddin Aziz@Saari bergambar bersama para tetamu yang hadir ke Majlis Anugerah Halal bagi 100 cawangan MIXUE Malaysia. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MIXUE Malaysia meraikan satu pencapaian penting apabila lebih 100 cawangan baharunya menerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi 2025. 

Pengiktirafan itu menandakan perkembangan penting dalam operasi tempatan MIXUE di Malaysia serta mengukuhkan keyakinan pengguna terhadap keselamatan dan jaminan halal produk rangkaian minuman teh dan ais krim berkenaan. 

Pengurus Besar MIXUE Malaysia, Wang Wei Long berkata, rangkaian cawangan MIXUE terus berkembang pesat sehingga menjadikannya salah satu rangkaian minuman teh dan ais krim terbesar serta paling meluas di Asia Tenggara. 

Katanya, sejak memasuki pasaran Malaysia pada 2022, MIXUE sentiasa komited memastikan setiap strategi perniagaan mengambil kira asas kepentingan budaya sesebuah negara, manakala pengiktirafan halal JAKIM membawa kepentingan strategik dan membuktikan komitmen jenama untuk memperkukuh kedudukan dalam industri makanan dan minuman tempatan. 

“Pensijilan halal di peringkat cawangan memberi keyakinan tambahan kepada pelanggan dan mencerminkan komitmen kami terhadap kawalan kualiti yang ketat di seluruh rantaian bekalan. 

“Dari pembelian bahan mentah hingga prosedur operasi cawangan, kami mematuhi semua keperluan JAKIM dan telah membangunkan Sistem Jaminan Halal MIXUE yang menyeluruh. 

“Setiap cawangan wajib mengikuti prosedur ini bagi memastikan kualiti konsisten, pengurusan telus dan pematuhan undang-undang di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Halal MIXUE semalam. 

Mengulas lanjut, Wang berkata, pasukan Halal MIXUE membantu lebih 100 cawangan mendapatkan pensijilan halal pada 2025 dan usaha itu akan diteruskan bagi memastikan jumlah cawangan MIXUE yang diiktiraf pensijilan halal terus meningkat pada masa hadapan. 

“Setiap proses dan prosedur di MIXUE diteliti bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap standard halal JAKIM, selain MIXUE Malaysia juga diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada Acara Hadis Sahih Muslim Antarabangsa 2025 (SAMA). 

“Pada edisi tahun ini, lebih daripada 3,000 cawan minuman serta 2,000 ais krim telah diagihkan kepada para peserta, diikuti dengan pemberian 10,000 baucar percuma sempena majlis penutup,” ujarnya. 

Sementara itu, beliau berkata, pada 29 hingga 30 November 2025, MIXUE Malaysia turut turun padang ke kawasan terjejas banjir di Perlis dan Perak. 

Katanya, pasukan telah melawat beberapa pusat pemindahan sementara untuk menyampaikan sumbangan, sokongan dan kata-kata semangat kepada keluarga, warga emas dan kanak-kanak yang terkesan akibat hujan lebat berterusan bagi memastikan mereka tidak berdepan kesukaran tersebut secara bersendirian. 

Sementara itu, Ketua Projek Halal MIXUE, Guo Xuying turut menyampaikan penghargaan kepada JAKIM atas kerjasama dan panduan yang diberikan sepanjang proses pensijilan yang membantu MIXUE menambah baik dan memperkasakan Sistem Jaminan Halal mereka. 

Menurutnya, pensijilan Halal bukan hanya bertujuan promosi, tetapi merupakan titik permulaan dalam usaha melaksanakan tanggungjawab sosial serta memperkukuh jenama. 

“Berdasarkan pensijilan halal ini, MIXUE akan terus berpegang pada misi iaitu mengukuhkan jenama, memakmurkan rakan kerjasama dan memastikan setiap insan di seluruh dunia menikmati produk yang berkualiti tinggi pada harga berpatutan,” katanya. 

Majlis penyampaian sijil halal itu menyaksikan JAKIM menyerahkan simbolik sijil Halal secara rasmi kepada pengurusan MIXUE Malaysia selepas semua syarat pensijilan dipenuhi. 

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Muhyiddin Aziz @ Saari serta Pengarah Bahagian Pelaburan dan Penjanaan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ummu Hani Husna Abdul Aziz.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN