IPOH: Keputusan untuk merombak Kabinet atau melantik barisan menteri baharu merupakan kuasa prerogatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya menghormati sepenuhnya keputusan Perdana Menteri, termasuk jika beliau memilih Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah untuk mengisi kekosongan jawatan berkenaan.
“Itu (melantik menteri) adalah prerogatif Perdana Menteri dan kita tak tahu, tapi saya tengok ramai sangat yang mencadangkan nama Datuk Shamsul Anuar.
“Saya sangat gembira apabila ahli Parlimen saya selalu dipilih menjadi menteri penuh. Alhamdulillah, beliau (Shamsul Anuar) pun pernah menjadi menteri sebelum ini.
“Jadi, kalau Perdana Menteri terbuka hati untuk melantik beliau sebagai menteri penuh, saya menyokong 101 peratus,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.
Terdahulu, Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker mencadangkan Shamsul Anuar yang juga merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri untuk mengisi Kabinet baharu kerajaan.
Menurut Lian Ker, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu merupakan seorang yang berpegang teguh kepada prinsip parti, menjadi teladan kepada ahli politik Melayu lama, selain dikenali sebagai pemimpin UMNO yang ikhlas dan rendah diri.
Sementara itu, mengulas mengenai Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan, beliau berkata program yang memasuki siri kelapan itu akan diteruskan tahun hadapan berikutan sambutan menggalakkan daripada masyarakat.
Menurut beliau, program itu akan mengekalkan format sedia ada, iaitu diadakan secara bergilir antara Ipoh dan daerah lain bagi membolehkan masyarakat luar bandar hadir menyuarakan masalah mereka.
“Kita lihat sambutan untuk program ini amat menggalakkan dan boleh lihat ada yang datang berulang kali dan berpuas hati,” katanya.
Pada program Hari Mesra Bertemu Pelanggan itu, sebanyak 106 kaunter khidmat pelanggan dibuka termasuk tujuh kaunter bergerak dan dua reruai pameran selain jualan murah dan Jualan Rahmah.
Sebanyak 185 aduan diterima hari ini, meliputi pelbagai isu dan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.
Setakat siri ketujuh, sebanyak 940 aduan dikumpulkan dengan 712 daripadanya atau 76 peratus telah diselesaikan, manakala baki 228 aduan atau 24 peratus masih dalam proses tindakan lanjut. – UTUSAN










