PETALING JAYA: Malaysia menghormati proses perundangan dan kehakiman di negara lain termasuk Singapura dalam menangani kes rakyat negara ini yang terlibat dalam prosiding undang-undang di luar negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu menunjukkan kesungguhan Malaysia dalam memastikan prinsip keadilan dihormati sambil mengekalkan pendirian tegas terhadap jenayah dadah.
“Malaysia kekal teguh dalam pendirian terhadap kesalahan berkaitan dadah walaupun undang-undang berkaitan hukuman mati mandatori telah dipinda.
“Malaysia dan Singapura hari ini menegaskan pendirian tegas kedua-dua negara terhadap pengedaran dadah dengan komitmen bersama memperkukuh kerjasama bagi menangani ancaman serantau yang dibawa oleh dadah.
“Isu dadah merupakan masalah di Malaysia. Secara tradisinya, kita mengambil pendirian yang sangat tegas walaupun hukuman mati mandatori telah dipinda,” katanya ketika sidang akhbar bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong selepas Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia–Singapura kali ke-12.
Menurut Perdana Menteri, sebarang representasi yang dibuat Malaysia hanyalah bagi menyampaikan kebimbangan keluarga yang terjejas dan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai toleransi terhadap kesalahan dadah.
“Tidak sepatutnya saya memberi petunjuk bahawa kami mentoleransi atau membenarkan kegiatan dadah. Pendekatan kami tetap tegas terhadap isu ini,” katanya. – UTUSAN









