Kerajaan bentang pindaan Akta 244 petang ini

Kerajaan bentang pindaan Akta 244 petang ini

TEO NIE CHING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membentangkan pindaan kepada Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Akta 244) di Dewan Rakyat pada petang ini, hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, Akta 244 pada ketika ini tidak melibatkan pengawalseliaan kandungan.

Kata beliau, kawalan terhadap kandungan media dan filem berada di bawah penyeliaan Lembaga Penapis Filem (LPF) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menguatkuasakan Kod Kandungan untuk kandungan digital dan dalam talian.

“Pindaan kepada Akta 244 yang akan dibentangkan pada petang ini, memberi tumpuan khusus kepada pembangunan industri kandungan, terutamanya dalam aspek aktiviti penggambaran dan penerbitan kandungan secara komersial.

“Di bawah akta ini, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bertanggungjawab mengurus dan menyelaras perkara-perkara seperti pengeluaran Surat Perakuan Penggambaran (SSP),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Nie Ching berkata, Finas juga bertanggungjawab mengurus perakuan filem iklan buatan Malaysia bagi mengeluarkan pensijilan ‘Made in Malaysia’ serta pendaftaran aktiviti penggambaran untuk tujuan pemantauan dan perancangan dasar.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalann dari Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang memintanya menyatakan rancangan kementerian untuk meminda akta itu berkenaan peraturan untuk kandungan dalam talian seperti kandungan melalui platform penstriman dan juga media sosial.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, pendekatan diambil melalui pindaan itu bertujuan untuk memperkemas struktur industri perfileman negara, menyokong kreativiti dan inovasi serta memastikan industri terus berkembang dalam persekitaran yang teratur, profesional dan berdaya saing tanpa mengganggu ruang kreatif para penggiat seni.

“Langkah ini bukan sahaja membantu menyusun industri filem secara lebih sistematik, tetapi juga bertujuan untuk melindungi kebajikan kru dan pekerja produksi tempatan, menggalakkan pembangunan kemahiran dan mewujudkan ekosistem perniagaan yang mampan dalam sektor kreatif,” jelasnya.

Beliau berkata, pindaan kepada Akta 244 turut merangkumi takrifan baharu bagi ‘filem’ iaitu kini meliputi semua jenis kandungan di pelbagai platform, termasuk platform penstriman dalam talian (OTT), media sosial dan kandungan yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Pindaan kepada akta ini berlandaskan maklum balas yang diterima secara langsung daripada penggiat industri. Antara perkara yang sering dibangkitkan oleh pemain industri termasuklah keperluan untuk memperluaskan jaringan peluang perniagaan.

“Selain itu, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia dan melaksanakan program peningkatan kemahiran dan pembangunan bakat tempatan secara lebih sistematik,” katanya.

Tambahnya, proses pindaan akta itu sudah mengambil kira pandangan industri, termasuk pemegang-pemegang lesen, persatuan-persatuan perfileman dan penyedia perkhidmatan penstriman dalam talian, melalui pelaksanaan siri libat urus serta rundingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×