Kelantan kikis tanggapan 'lubuk' dadah, penyalah guna, penagihan turun 

Kelantan kikis tanggapan ‘lubuk’ dadah, penyalah guna, penagihan turun 

ZAMAKSHARI MUHAMAD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tanggapan Kelantan sebagai ‘lubuk’ dadah semakin terhakis apabila jumlah tangkapan melibatkan penyalah guna dan pengagihan bahan terlang itu menurun kepada 1,128 tahun ini.

Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata, bilangan penyalah guna dan penagih dadah menurun 7.4 peratus, daripada 15,448 orang pada 2024 kepada 14,320 orang tahun ini.

Katanya, situasi itu sekali gus mencerminkan perubahan arah dalam usaha memerangi dadah di bumi serambi Mekah.

“Jumlah kes penyalahgunaan dadah juga menurun sebanyak 582 kes, daripada 25,673 (2024) kes kepada 25,091 kes (2025).

“Selain itu, jumlah tangkapan turut merekodkan penurunan sebanyak 1,018 kes, daripada 27,402 pada 2024 lalu kepada 26,384 tahun ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zamakhsari memberitahu, penurunan membabitkan tiga indikator utama serentak penagih, kes dan tangkapan memberi isyarat jelas bahawa strategi bersepadu yang dilaksanakan kerajaan negeri bersama agensi penguatkuasaan dan masyarakat mula menampakkan kesan sebenar.

Katanya, bagaimanapun menegaskan pencapaian itu bukan alasan untuk berasa selesa.

“Masalah dadah tidak boleh ditangani dengan tangkap dan hukum semata-mata. Tumpuan kini diberikan kepada pencegahan awal serta penglibatan masyarakat.

“Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah melaksanakan ratusan program pencegahan melibatkan keluarga, sekolah, tempat kerja dan komuniti setempat kerana akar masalah dadah sering bermula daripada persekitaran terdekat,” ujarnya.

Zamakhshari berkata, Kerajaan Kelantan kekal menjadikan perang terhadap dadah sebagai satu jihad bersama, namun kejayaan sebenar hanya boleh dicapai dengan sokongan padu rakyat.

“Apabila masyarakat cakna, berani menegur dan bekerjasama dengan pihak berkuasa, di situlah perubahan sebenar bermula,” katanya.

Beliau menegaskan, dadah bukan isu orang lain, sebaliknya isu keluarga, komuniti dan masa depan negeri Kelantan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN