PETALING JAYA: Aksi panas antara Kuala Lumpur (KL) City dan Selangor FC dalam aksi Liga Super di stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Ahad ini disifatkan sebagai pertembungan penentu yang tidak boleh berakhir dengan keputusan seri.
Bekas pemain kebangsaan dan pengulas sukan, Azlan Johar berkata, kedua-dua pasukan perlu memburu kemenangan kerana sebarang keputusan seri hanya akan merugikan peluang masing-masing dalam perebutan kedudukan kedua liga.
Katanya, tekanan persaingan semakin memuncak terutama dengan kehadiran Kuching City yang turut berpeluang memintas kedudukan kedua-dua pasukan apabila bakal turun menentang Penang FC, esok.
“Tak boleh seri, mesti nak menang. Kedua-dua pasukan perlu memburu tiga mata penuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Azlan berkata, Selangor khususnya tidak boleh ulangi aksi hambar berdepan Melaka pada aksi lalu yang menyaksikan skuad kendalian Kim Pan Gon mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Hang Jebat.
“Keputusan seri itu satu kerugian besar buat Selangor. Tiada siapa sangka mereka boleh seri dengan Melaka.
“Saya percaya pemain Selangor akan bangkit kerana mereka mahu membuktikan mereka layak berada di kelompok teratas,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan Selangor agar berwaspada dengan kebangkitan lewat KL City yang sering memberi ancaman pada minit-minit akhir perlawanan.
“KL City ini bahaya pada penghujung permainan. Selalu dalam 10 minit terakhir mereka boleh bangkit dan ubah keputusan perlawanan.
“Sebab itu Selangor tak boleh lepaskan peluang yang ada. Peluang yang datang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin,” ujarnya. – UTUSAN










