LUMUT: Kapal Diraja (KD) Hang Tuah secara rasmi menamatkan perkhidmatannya dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini, sekali gus menutup lembaran hampir lima dekad khidmat baktinya kepada pasukan keselamatan negara.
Suasana hiba menyelubungi Pangkalan TLDM Lumut apabila loceng kapal dibunyikan dan gada-gada diturunkan sebagai simbolik penamatan tauliah dan status aktif KD Hang Tuah.
Kesayuan turut dirasai apabila sebahagian kru terdahulu dan bekas pegawai memerintah yang pernah mengetuai kapal itu dilihat sebak, malah ada yang mengalirkan air mata mengenang jasa dan sejarah perkhidmatan KD Hang Tuah.
Upacara pelucutan tauliah kapal dengan istiadat ketenteraan itu disempurnakan oleh Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor.
KD Hang Tuah yang dibina di Scotland sebagai Black Star untuk Ghana sebelum ditauliahkan sebagai HMS Mermaid dalam Tentera Laut Diraja British itu diserahkan kepada Malaysia dan ditauliahkan sebagai KD Hang Tuah pada 22 Julai 1977.
Ia dinamakan KD Hang Tuah sempena tokoh pahlawan dalam sejarah Tanah Melayu iaitu Laksamana Hang Tuah yang sinonim dengan sifat keberanian dan kesetiaan yang luar biasa.
Kapal sepanjang 103.5 meter dengan kelebaran 12.02 meter serta berat sasaran 2,300 tan itu mampu mencapai kelajuan maksimum 24 knot.
Sejak ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Seri Paduka Baginda, KD Hang Tuah memainkan peranan yang aktif sebagai kapal tempur barisan hadapan TLDM.
Selari dengan nama besar yang diberi, kapal ini sering ditugaskan untuk menerajui operasi menjaga kedaulatan dan kepentingan maritim negara yang ketika itu masih baharu dan menghadapi pelbagai ancaman.
Peranan tersebut bagaimanapun secara beransur-ansur diambil alih oleh kapal perang lain yang lebih moden dan berkeupayaan.
Bermula era 1980-an, KD Hang Tuah lebih menumpukan perhatiannya sebagai platform latihan untuk warga TLDM.
Selain melaksanakan tugas operasi, KD Hang Tuah turut mengambil bahagian dalam pelbagai eksesais di dalam dan luar negara termasuk Malindo Jaya, Emas Hitam, Milan, Kakadu dan LIMA.
Sementara itu, dalam ucapannya Baharudin berkata, kapal perang tersebut bukan sahaja antara yang terbesar dalam armada TLDM ketika itu, malah memiliki keupayaan tempur tertinggi dalam ketiga-tiga dimensi peperangan maritim pada zamannya.
Katanya, pelucutan tauliah KD Hang Tuah bukanlah penamat cerita, sebaliknya menandakan permulaan episod baharu bagi kapal perang itu.
“Pelucutan tauliah KD Hang Tuah merupakan sebahagian daripada usaha berterusan TLDM untuk memodenkan armada selaras dengan aspirasi Program Transformasi 15 ke 5, khususnya rancangan ‘phase-in’ dan ‘phase-out’ kapal-kapal usang.
“Program transformasi ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan TLDM, selari dengan perkembangan teknologi dan perubahan landskap pertahanan pada kos yang optimum, seterusnya memberi pulangan lebih tinggi kepada pelaburan yang dibuat oleh kerajaan,” katanya. – UTUSAN










