KUALA KANGSAR: Lebih 700 penduduk Kampung Menora di sini menerima manfaat pembangunan hasil pelaksanaan 22 projek di bawah program Kampung Angkat Madani (KAM) dan Sekolah Angkat Madani (SAM) oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, pelaksanaan projek fizikal dan bukan fizikal itu membawa sinar baharu kepada komuniti setempat merangkumi penduduk kampung, warga sekolah dan golongan asnaf.
Katanya, pembangunan yang dilaksanakan membabitkan aspek infrastruktur, pendidikan, ekonomi serta kesejahteraan sosial dan kerohanian.
“Di bawah inisiatif KAM dan SAM, Jakim memilih Kampung Menora sebagai lokasi tumpuan dengan peruntukan keseluruhan RM1 juta merangkumi projek fizikal bernilai RM900,000 dan bukan fizikal berjumlah RM100,000.
“Skop projek ini memberi tumpuan kepada penaiktarafan infrastruktur asas dan kemudahan awam serta pelaksanaan program pembangunan sosial dan kerohanian komuniti setempat.
“Antara projek fizikal utama yang telah dan sedang dilaksanakan termasuk pemasangan lampu solar jalan, menaik taraf Masjid Al-Munariah, penyelenggaraan dan naik taraf jalan perhubungan desa serta dewan komuniti selain pembangunan projek ekonomi komuniti seperti ternakan lebah kelulut.
“Usaha ini bertujuan memastikan kemudahan asas kampung berada pada tahap selamat, selesa dan mampan untuk manfaat jangka panjang penduduk setempat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut beliau, sebagai pelengkap kepada usaha pembangunan komuniti, Jakim turut melaksanakan program SAM melibatkan dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Menora dan SK Sayong.
Katanya, kedua-dua sekolah itu masing-masing menerima peruntukan sebanyak RM100,000 untuk menaik taraf infrastruktur serta kemudahan pembelajaran.
“Semua projek yang telah kita laksanakan ini, kita serahkan semula kepada pihak kampung dan sekolah untuk mereka manfaatkan kemudahan yang telah ditambah baik,” katanya. – UTUSAN










