JPJ sita 706 kenderaan mewah, kebanyakan tidak perbaharui cukai jalan

JPJ sita 706 kenderaan mewah, kebanyakan tidak perbaharui cukai jalan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Masih terdapat pemilik kenderaan mewah memberikan alasan terlupa untuk memperbaharui  cukai jalan serta insurans mereka meskipun sudah tamat tempoh.

Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, alasan sedemikian sering digunakan pemilik dan pihaknya tidak lagi akan berkompromi dengan alasan sedemikian dan akan terus dengan tindakan sitaan.

Kata beliau, sejak operasi itu dilaksanakan bermula 1 Julai lalu, sebanyak 706 kenderaan mewah telah disita.

“Kini operasi itu sudah masuk bilangan keempat, sebanyak 78 kenderaan mewah pelbagai jenama telah disita dalam tempoh empat hari pelaksanaannya Op Luxury 4.0 bermula 12 Disember lalu.

“Alasan yang paling kerap diberikan adalah terlupa. Kami tidak boleh terima alasan sedemikian atau apa juga alasan yang menyebabkan mereka culas memperbaharui LKM dan insurans,” katanya pada sidang akhbar Op Luxury 4.0 di Depoh B Ibu Pejabat JPJ Kuala Lumpur, hari ini. 

Aedy berkata, kebanyakan pemilik dan pemandu kenderaan mewah ini mengambil ringan tanggungjawab mereka kerana hanya dikenakan saman RM300.

“Sejak kAMI laksanakan Operasi Luxury (Ops Luxury), kami terus sita kenderaan dari lokasi pemeriksaan dijalankan dan dibawa ke depoh,” jelasnya.

Beliau berkata, Op Luxury 4.0 mencatat sitaan tinggi dalam tempoh singkat dan antara kesalahan dikesan adalah tiada lesen kenderaan motor, tiada cukai jalan, tiada perlindungan insurans, lesen memandu tamat tempoh serta memandu tanpa lesen sah.

“Semakan mendapati nilai tunggakan cukai jalan tertinggi membabitkan sebuah Lamborghini Huracan yang baru disita hari ini, berjumlah RM35,760 dan sebuah Audi A8 dengan tunggakan cukai jalan RM21,710,” ujarnya.

Menurut beliau, JPJ turut menahan sebuah kenderaan mewah jenis Audi TT yang tidak memperbaharui cukai jalan sejak 2021, selain mengesan sebuah lagi kenderaan mewah jenis BMW i7 yang mempamerkan nombor pendaftaran palsu.

“Kami mendapati ada pemandu menggunakan nombor pendaftaran sebuah motosikal untuk membolehkan kenderaan yang belum didaftarkan dibawa di jalan raya. Motif sebenar masih dalam siasatan dan tindakan lanjut akan diambil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN