‘Jangan ada yang ambil kesempatan’ - Utusan Malaysia

‘Jangan ada yang ambil kesempatan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU bayaran program agama yang terlalu mahal menjadi antara topik perdebatan di media sosial. Ada yang menganggap tindakan meletakkan harga terlalu mahal bagi sebuah majlis ilmu seperti ‘menjual agama.’

Namun ada yang mungkin melihat harga itu dari sudut berbeza. Dengan fasiliti, penceramah jemputan, hadiah dan mungkin sususanan aturcara yang lebih berkualiti menjadikan semahal mana pun program itu berbaloi.

Mengutarakan pendapat berkaitan isu tersebut, penceramah popular, PU Amin menjelaskan, isu bayaran mahal tidak seharusnya menjadi perdebatan sekiranya program tersebut menepati kualiti pada harga yang ditetapkan.

Malah jelasnya, bayaran sesebuah program agama bukan hanya terletak kepada ilmu yang disampaikan tetapi kualiti kepada bentuk dan penyampaian agama.

“Kita perlu ambil kira juga kepada sewaan dewan, fasiliti, penyediaan makan atau minuman, hadiah (goodies bag) dan susunan aturcara program itu. Misalnya kalau kita bayar RM200, kita mungkin dapat lebih dari jumlah itu.

“Yang menjadi masalah adalah bila kita bayar RM200, tetapi dapat RM10. Mungkin dewan tidak selesa, tiada makanan, goodies bag dan sebagainya, itu yang buat mungkin kita rasa tidak berbaloi.

“Apa yang menakutkan adalah golongan yang suka mengambil kesempatan. Kononnya mahu sertai program agama, kena bayar mahal. Kita tak mahu begitu. Ilmu tidak seharusnya dijual beli,” katanya.

Ditemui di program Cahaya Hati 2.0: Dari Luka Menuju Cahaya, Dari Hati Menuju Syurga, PU Amin juga terbuka untuk bekerjasama dengan p[enganjur yang mengadakan program ilmu sesuai dengan harga dan kualiti.

“Saya suka dengan suasana pengajian ilmu seperti di program Cahaya Hati 2.0 ini. Kali pertama sebenarnya saya dijemput di sebuah program yang cukup dekat dan penuh ilmu berkualiti.

“Bayaran juga tidak mahal, masih terkawal. Dan semestinya ramai yang mampu terutama untuk mereka yang hadir mendapatkan ilmu dan juga bertukar pandangan dengan rakan lain. Aura positif, belajar berfokus.

“Tidak jadi masalah untuk kita keluarkan wang, bagi yang mampu jika majlis itu memberi manfaat kepada kita. Banyak sahaja kursus atau program berbayar. Sekarang hendak belajar berenang pun kena bayar,” katanya.

CAHAYA HATI 2.0
Bagi Presiden One World Muslimah , Noor Razlina Noor Mohamed Cahaya Hati 2.0, menyasarkan mereka yang mahu mencari ilmu dengan menawarkan harga mampu bayar.

Jelasnya sebagai penganjur, dia juga mahu memperkenalkan penceramah Indonesia, Ustaz Irfan Rizki yang pertama kali hadir ke Kuala Lumpur untuk menyampaikan ilmu kepada 1,500 peserta yang hadir di program itu.

“Cahaya Hati merupakan siri majlis ilmu dalam lingkungan harga mampu milik. Kita cuba buka peluang untuk orang ramai hadir ke majlis ilmu. Mungkin tidak semua mahu ke majlis ilmu di masjid atau pusat komuniti.

“Jadi kita undang penceramah luar dan tempatan untuk berkongsi ilmu. Kadar bayaran juga sangat berpatutan dan kita juga membuka ruang perniagaan kecil-kecilan di luar dewan kepada usahawan tempatan,” katanya.

Program Cahaya Hati 3.0 akan menjelajah ke Kelantan pada 31 Januari 2026 dengan menampilkan penceramah Indonesia, Oki Setiana Dewi dan seterusnya di Kuala Lumpur awal Februari depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN