‘Saya hanya fikir mati di Selat Hormuz’

‘Saya hanya fikir mati di Selat Hormuz’

SELAT Hormuz. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dentuman bom dan serangan dron menghantui anak kapal Malaysia ketika meredah Selat Hormuz yang kini ibarat medan perang di tengah lautan.

Seorang kru kapal yang mahu dikenali Nazri berkata, serangan dron, peluru berpandu dan letupan yang pernah menyasarkan kapal lain menjadi bayangan yang sentiasa menghantui ketika terkandas di laluan itu.

Katanya, dia pada saat itu hanya memikirkan keluarganya yang tinggal di Johor di sebalik keselamatan tahap tinggi di atas kapal dikawal ketat bagi memastikan sebarang situasi kecemasan dapat ditangani segera.

Menurutnya, meskipun tidak pernah berdepan sebarang insiden namun perasaan bimbang tetap ada ketika berada di kawasan berisiko tinggi itu.

“Kadang-kadang laut nampak tenang, tapi kami tahu bahaya boleh datang bila-bila masa.

“Apatah lagi melalui Selat Hormuz, di mana serangan boleh berlaku pada bila-bila masa dan boleh meragut nyawa saya dan anak kapal lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nazri berkata, tahap keselamatan setiap kapal yang melalui Selat Hormuz kini beroperasi dengan prosedur lebih ketat susulan ketegangan di Asia Barat sejak Februari lalu.

Kawalan keselamatan di atas kapal sentiasa dipantau bagi memastikan sebarang situasi kecemasan dapat ditangani dengan segera.

Katanya, setiap kapal mempunyai sistem kecemasan membolehkan ibu pejabat dan pihak berkuasa mengetahui sekiranya berlaku ancaman atau kecemasan.

“Dalam sektor maritim terdapat tiga tahap keselamatan. Jika sudah sampai tahap ketiga, memang kapal tidak boleh masuk terus (Selat Hormuz). Namun biasanya tahap keselamatan itu tidak akan berada lama pada tahap tiga.

“Semasa pandemik Covid-19 pun tahap keselamatan hanya pada tahap dua. Walaupun satu dunia menjalani kuarantin, kapal tetap bekerja seperti biasa,” katanya.

Nazri mengakui tidak serik bergelar anak kapal meskipun terpaksa berdepan risiko tinggi khususnya melalui Selat Hormuz susulan konflik antara Iran dengan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, Israel.

“Sebaik sahaja melalui selat itu, saya tidak pernah menyesal menjadi anak kapal walaupun berisiko. Ini pilihan saya, meskipun setiap pelayaran tidak menjanjikan kepulangan yang sama, lebih-lebih lagi melalui Selat Hormuz yang berbahaya, di mana serangan boleh berlaku pada bila-bila masa dan meragut nyawa anak kapal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN