Industri halal pemangkin pertumbuhan usahawan F&B di Pulau Pinang

Industri halal pemangkin pertumbuhan usahawan F&B di Pulau Pinang

CHOW Kon Yeow (kiri) ketika meninjau produk makanan di Food Entrepreneur Expo di Pusat Konvensyen SPICE, Bayan Lepas, Pulau Pinang, hari ini. UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Industri halal berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan sektor makanan dan minuman (F&B) di negeri ini khususnya dalam membuka peluang pasaran lebih luas kepada usahawan tempatan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, produk yang memiliki pensijilan halal bukan sahaja lebih diyakini pengguna malah menikmati akses pasaran jauh lebih besar berbanding produk tanpa pensijilan tersebut.

“Sektor halal ini amat menarik kerana ia memberi peluang kepada pasaran yang lebih luas. Malaysia pula mempunyai kelebihan kerana sistem pensijilan halal kita sudah lama diiktiraf dan diyakini di peringkat global,” katanya selepas merasmikan Food Entrepreneur Expo di Pusat Konvensyen SPICE, hari ini.

Menurut Kon Yeow, meskipun Pulau Pinang mempunyai banyak restoran dan pengusaha makanan mesra Muslim yang berkualiti namun masih ramai belum mendapatkan pensijilan halal kerana kekangan kefahaman terhadap proses serta persepsi bahawa proses tersebut memakan masa.

“Pensijilan halal sebenarnya membuka pintu luas ke pasaran global. Kami mempunyai potensi sebenar untuk meneroka peluang ini. Bagaimanapun, ia perlu disokong oleh proses yang cekap dan kerjasama erat antara agensi berkaitan serta pengusaha,” katanya.

Jelas beliau, ekosistem industri halal di negara ini juga semakin matang dengan sokongan rantaian bekalan yang kukuh merangkumi jentera, bahan mentah ramuan serta pembungkusan, sekali gus menyokong perkembangan industri pada fasa seterusnya.

“Kami tidak boleh kekal dalam kedudukan sekarang. Pasaran luar negara amat besar, bukan sahaja di Asia Tenggara malah di China, Asia Tengah, Eropah dan Amerika Syarikat. Jadi, usahawan-usahawan kita perlu merebut peluang ini melalui pensijilan halal,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pulau Pinang tidak seharusnya hanya dikenali sebagai negeri makanan terkenal, sebaliknya perlu muncul sebagai hab ekosistem industri makanan yang kukuh, selari dengan aspirasi Penang2030. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN